My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 28 September 2017

    Kesopanan Bermula Di Rumah




    Terlihat dua kelibat kecil berlari keluar dari pintu rumah menghala ke lif. Seorang berusia sekitar empat tahun dan kakaknya tujuh tahun. Butang lif ditekan bertalu-talu. Nampak si adik tidak sabar untuk turun. 

    Sebaik pintu lif terbuka, dua kanak-kanak berkenaan terus merempuh masuk, melanggar seorang lelaki berkopiah. Tiada sepatah pun ucapan maaf. Malah si kecil sempat berdecit sambil mata menjeling pada penumpang lif. Jauh benar bezanya dengan senario lebih 20 tahun dulu.

    Zaman itu kanak-kanak tahu melempar senyum dan menegur ramah orang tua, meminta izin untuk lalu atau melintas di depan mahupun di belakang mereka yang lebih dewasa. Tidak berani langsung bertentang mata (dalam pandangan biadab), apatah lagi berdecit atau merengus.

    Andai ada yang bersikap kurang ajar dan perbuatan itu pula sampai ke pengetahuan ayah maka bersedialah menunggu hukuman rotan. Paling tidak, cubitan halus emak singgah di lengan atau paha. Itu didikan ibu bapa zaman dulu yang menjadi kebanggaan ramai ibu bapa muda kini.

    Namun, hairannya ia gagal ditiru dan diterap semula dalam membentuk sahsiah anak kecil dan remaja pada zaman serba canggih ini. Betapa ibu bapa hari ini terlalu mementingkan pendidikan pada awal usia kanak-kanak.

    Seboleh-bolehnya, mereka mahu anak mengenal banyak perkara asas seawal umur tiga tahun, lancar membaca ABC pada usia empat tahun dan pandai membaca serta bijak dalam pelajaran pada usia seterusnya. Dari sudut penglihatan kanak-kanak pula, mereka cenderung mempelajari banyak perkara daripada persekitaran sehari-hari.

    Mereka menyerap segala ilmu di sekolah dan mengambil setiap yang berlaku di sekeliling sebagai contoh dan teladan untuk berdepan situasi serupa pada masa depan. Mungkin di situlah punca mengapa didikan dulu gagal diterap untuk kelompok muda hari ini.

    Menurut Pakar Motivasi dan Jurulatih Keibubapaan Zaid Mohamad, adalah sukar untuk menidakkan hakikat ibu bapa dan ahli keluarga adalah guru terawal dan paling dekat dengan anak. Mereka mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam pembentukan sahsiah anak kecil.

    “Saya tertarik dengan nukilan seorang kaunselor keluarga, Dorothy Nolte yang mengatakan kanak-kanak akan belajar daripada apa yang mereka alami.

    Beliau menyebut, ‘jika kanak-kanak selalu dikritik, dia akan belajar mengherdik; jika kanak-kanak selalu dibentak, dia akan belajar memberontak; jika kanak-kanak selalu dikeji, dia akan belajar membenci; jika kanak-kanak selalu dipersalah, dia akan berjiwa lemah.

    “Namun, jika kanak-kanak ikhlas dipuji, dia akan belajar menghargai; jika kanak-kanak sentiasa dihargai, dia akan berkeyakinan diri; jika kanak-kanak selalu didengari, dia akan belajar menghormati dan jika kanak-kanak sering dihormati, dia akan melonjak martabat’. Ini nukilan beliau yang saya olah semula dalam bahasa Melayu.

    “Jelas ibu bapa perlu berhati-hati dalam setiap aspek kehidupan kerana anak kecil memerhatikan setiap tingkah laku kita. Mereka perlu dilatih untuk mempunyai sikap beradab dan sopan santun sejak kecil.

    Tiada siapa yang akan suka dengan sikap kurang ajar. Mereka (anak yang tidak beradab) boleh mengganggu mood malah merosakkan hari kita. Namun malangnya, pada zaman serba moden ini kita pasti terjumpa ramai orang sebegitu,” katanya.

    DIDIK DIRI UNTUK BERADAB

    Kata Zaid, perkara sama pernah dikaji majalah Readers Digest pada 2013 dengan mengambil sampel dari 36 bandar raya. Mereka mahu melihat sejauh mana penduduk dalam negara berkenaan mengamalkan adab sopan terhadap individu lain.

    Namun apa yang mengejutkan, Kuala Lumpur, Singapura dan Bangkok menduduki tempat teratas dalam senarai bandar raya yang penuh dengan penduduk tidak sopan! Perkhabaran ini amat mengecewakan kerana Malaysia adalah sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan adab sopan adalah satu cabang hidup yang amat ditekankan di dalam masyarakat.

    “Dalam menghuraikan soal pendidikan moral anak, kita perlu melihat kembali beberapa hasil kajian umum dalam isu serupa. Mereka mendedahkan masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang kurang nilai dan budaya kesopanan.

    Jika dihalusi, sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang asing kerana kita sendiri mungkin pernah berdepan pengalaman pahit ketika bertemu atau berinteraksi dengan orang di sekeliling. “Boleh jadi, mereka ini di rumah, dalam masyarakat, di jalanan atau di pejabat. Malah tidak hairanlah jika kita sentiasa bertemu dan berinteraksi dengan orang seperti ini.

    Ada waktunya, kita tidak boleh menafikan yang kita juga menjadi sebahagian daripada kelompok kurang sopan dan tidak beradab ketika berinteraksi dengan orang lain. “Jadi, sebelum kita menuduh orang lain sebagai tidak beradab, lebih baik kita lihat ke dalam diri sendiri untuk memastikan kita benar-benar tidak bersalah dalam perkara ini.

    Sebelum kita marah mereka yang memotong barisan, melanggar peraturan trafik dan menyalahgunakan hak umum sewenang-wenangnya, perhatikan dulu bagaimana perangai serta tingkah laku diri supaya kita tidak tergolong dalam kategori sama.

    “Jika ada antara perlakuan tidak sopan berkait dengan diri, segeralah memohon maaf dan usah mengulangi perkara yang boleh menjatuhkan maruah serta imej. Kita bertanggungjawab untuk menjadi contoh individu yang beradab dan berakhlak mulia kepada kanak-kanak dan remaja, terutama anak sendiri,” katanya.

    Jelas beliau perasaan tanggungjawab dan mengaku diri sebagai sebahagian daripada masalah, boleh menjadi langkah permulaan yang besar ke arah mencipta masyarakat yang lebih beradab sopan. “Cara terbaik untuk menangani masalah sosial ini adalah dengan melawannya secara terus dan berdebat.

    Bagaimana? Kita hanya perlu menunjukkan jalan dan menjadi teladan bahawa kita sebenarnya mampu untuk menjadi seorang yang beradab sopan.

    “Di sinilah ujian yang paling besar. Kita perlu berani untuk menjadi seorang yang bersopan kerana dalam kebanyakan situasi, lebih mudah untuk kita turut menjadi seorang yang kurang ajar dalam melepaskan geram. Contohnya, ramai yang tidak mampu berlaku sopan apabila orang di depan berkelakuan biadab. Ini banyak kelihatan di jalan raya.

    Tatasusila hilang begitu sahaja apabila melihat orang lain melanggar peraturan jalan raya lalu ramailah pemandu lain yang mengikutnya.

    “Ada juga individu yang mengambil jalan tengah dengan nekad untuk tidak lagi beradab sopan kerana mereka rasa tidak dihargai walau dengan sedikit ucapan terima kasih. Pokok pangkalnya, kesopanan itu bermula di rumah dan setiap ibu bapa bertanggungjawab memastikan generasi baru kaya dengan tatasusila.

    “Mulakan dengan mengajar anak melalui contoh dan teladan. Selaku guru terbaik, ibu bapa perlu menunjukkan kesabaran tinggi dan berhenti daripada membalas setiap perlakuan kurang sopan orang lain setiap hari. Tunjukkan kepada anak kita sebenarnya hero dan pemenang dalam perlawanan adab sopan dengan mereka yang biadab,” katanya.

    USAH KEJAR KESEMPURNAAN

    Dalam keghairahan membesarkan anak untuk menjadi insan terbaik, mungkin ada ibu bapa yang berdepan tekanan atau hilang semangat kerana terlalu mengharapkan kesempurnaan. Jika boleh, setiap perkara yang gagal dikecapi ketika usia kecil hendak disempurnakan sebaik-baiknya dalam kehidupan anak.

    “Kesempurnaan itu hanya milik Allah SWT. Manusia perlu memahami dan menerima bahawa banyak perkara yang dirancang tidak dapat dilaksanakan. Lukisan kita tidak akan sentiasa menjadi cantik, namun jangan sesekali kita berputus asa untuk terus menikmatinya.

    "Anak pula tidak akan sentiasa berada di kedudukan yang teratas di dalam kelas, tetapi jangan pula berhenti memberi mereka semangat dan harapan.

    “Kita mungkin kurang harta benda, tetapi ia bukan alasan untuk mengalah mengejar kebahagiaan dan menikmati apa yang kita miliki. Di sini, kita boleh belajar daripada anak. Hati suci kanak-kanak akan sentiasa melihat segala benda sebagai suatu yang indah walaupun tidak sempurna. Sebaliknya, orang dewasa yang sudah melalui pelbagai kitaran hidup mudah menjadi lebih pesimis dan tertekan.

    “Ibu bapa selalunya dibebani dengan tugasan kerja, tertekan apabila berada dalam kesesakan lalu lintas dan kesibukan hidup. Kemudian mereka meluahkan semua permasalahan ini kepada orang sekeliling, termasuk anak. Sedangkan anak sukar tergugat dengan ketidaksempurnaan dalam kehidupan. Mereka lebih suka bebas berlari dan menikmati hidup seadanya.

    “Tiada barang permainan? Tidak mengapa. Mereka cipta sendiri permainan dengan menjadikan barangan di rumah sebagai pedang, stereng kereta atau pakaian sang puteri. Jika kita bersihkan minda, kita mampu menikmati setiap saat dalam hidup dan menghargai banyak perkara seadanya.

    "Kita akan menjadi seperti kanak-kanak semula dan menemui banyak perkara yang indah di sebalik ketidaksempurnaan. Perlu diketahui kehendak sebenar anak bukanlah gajet canggih, barangan permainan berjenama atau percutian di taman tema.

    "Apa yang mereka benar-benar perlukan ialah sebanyak mungkin kasih sayang. Betul, mereka akan tergila-gilakan segala peralatan canggih atau percutian hebat ini, tetapi jauh di lubuk hati, apa yang diidamkan ialah kasih sayang daripada ibu bapa,” katanya.

    Nampak jelas gajet canggih tidak akan membawa sebarang makna kepada anak jika rumah terasa kosong dan ibu bapa pula sentiasa terlalu sibuk untuk mereka. Usahakan sebaik-baiknya untuk menghabiskan sisa masa yang ada dengan permata hati tercinta. Satu peringatan penting yang perlu diselit dalam minda setiap ibu bapa bahawa anak membesar pada kadar yang luar biasa.

    Tanpa kita sedari, mereka akan terus meniti usia sehingga bersedia untuk meninggalkan kita. Jadi, usah biarkan masa berlalu tanpa mencipta detik bernilai bersama mereka. Dalam kebanyakan situasi, hadiah yang terbaik yang boleh diberi seorang ibu atau bapa kepada anak adalah cinta.

    Kita tidak perlu berhabis duit untuk mendapatkan perkara terbaik dalam kehidupan kerana segalanya sudah berada di depan mata iaitu keluarga bahagia, anak sempurna dan masa depan yang cerah! 

    HARGAI ANAK REMAJA 

    Jika dibentangkan fasa kehidupan seorang anak untuk dinilai, dicorak dan diberi sentuhan semula oleh ibu bapa, peringkat remaja mungkin boleh dianggap sebagai takuk paling kritikal dalam menghasilkan individu yang menghormati orang tua serta masyarakat sekeliling.

    Menurut Zaid, pada peringkat remaja, ibu bapa perlu melebihkan aspek hubungan emosi dan berkawan dengan anak. “Sebagai kawan, kita akan lebih mudah didekati anak, berupaya memberi sokongan dan motivasi kepada mereka, sekali gus membina ruang komunikasi yang lebih positif.

    Bersesuaian zaman informasi, kita juga perlu lebih interaktif dengan anak remaja. Galakkan anak berkongsi masalah dengan cara tidak menghukum, sebaliknya membela mereka.

    “Lebihkan perbincangan, saling menghormati pendapat dan fahami situasi mereka. Paling penting, beri anak kepercayaan dan peluang untuk mencuba, yakin dan sokong keputusan mereka. Usah terlalu mengkritik pakaian, gaya dan minat anak selagi tidak bertentangan dengan agama serta budaya.

    “Jika menegur, gunakanlah bahasa positif. Seimbangkan antara pujian dan kritikan kerana kita sering terlepas pandang kebaikan yang mereka lakukan tetapi mudah melatah terhadap kekurangan. Jika anak melakukan kesalahan, fokuskan kepada perbuatan, bukannya menyerang personaliti mereka dan melemparkan pelbagai tuduhan.

    "Perbuatan boleh jadi betul atau salah, tetapi tiada individu yang suka jika mereka dilabel sebagai jahat atau tiada harapan,” katanya.

    Apa-apa pun jelasnya, jangan terlalu mudah memberikan segalanya kepada anak. Sebagai ibu bapa penyayang, sudah pasti kita sanggup berjalan walau sehingga ke hujung dunia demi mereka. Malah, memang jelas tidak mustahil setiap ibu bapa mempunyai nekad dan azam untuk melakukan apa saja demi kesenangan anak tercinta.

    “Tetapi, dalam usaha memberikan mereka yang terbaik, pernahkah kita terfikir kemungkinan kita sendiri meletakkan cinta kepada mereka di tempat yang salah? Atau dalam bahasa lain, terlalu memanjakan anak sehingga merosakkan diri mereka?

    “Jika ini dibiarkan berterusan, anak akan membesar dalam zon selesa dan tidak pandai menyelesaikan masalah apabila dewasa. Anak juga mungkin kurang wawasan hidup dan apabila kerja menjadi susah, tidak mustahil mereka akan mudah berputus asa,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kesopanan Bermula Di Rumah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top