My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 18 September 2017

    Momentum Projek TRX


    TRX City Sdn Bhd, pemaju utama bagi projek Tun Razak Exchange (TRX) mencatatkan jualan RM4 bilion bagi hak pembinaan membabitkan lima syarikat. Syarikat berkenaan termasuk pemaju tersohor dari Indonesia, Mulia Group, HSBC, Affin Holdings Bhd, WCT Holdings Bhd, Affin Bank, Tabung Haji dan Lendlease. 

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmar Talib berkata, berbeza dengan projek pembangunan di sekitarnya, pihaknya hanya membenarkan kerja pembinaan dijalankan selepas mendapat pembeli yang sesuai.

    “Kami tidak menggunakan konsep bina dan jual sebaliknya hanya membenarkan kerja pembinaan dimulakan selepas mendapat pembeli untuk plot berkenaan,” katanya selepas sesi temu bual eksklusif dengan tiga akhbar tempatan, di sini.

    Menurutnya, pihaknya juga mengetengahkan konsep penjualan yang berbeza di mana cara pertama adalah dengan bina dan pajak, manakala cara kedua adalah dengan menjual hak pembinaan. “Prudential adalah syarikat yang mengikat perjanjian untuk konsep bina dan pajak ini kerana kerja pembinaan akan dilaksanakan TRX dan mereka akan menjadi penyewa utama bangunan berkenaan. 

    “Untuk Tabung Haji, WCT dan Affin Bank, mereka menandatangani perjanjian pembelian hak pembinaan di mana kerja pembinaan akan dilaksanakan sendiri termasuk pemilihan kontraktor dan TRX hanya menyediakan infrastruktur yang diperlukan,” katanya.

    Menurutnya, sehingga kini, terdapat empat plot bangunan yang masih dibuka untuk menempatkan hotel, kediaman dan pejabat. “Untuk bangunan yang sudah mempunyai pemilik, kami jangkakan mereka akan mula berpindah masuk dan beroperasi menjelang 2020.

    “Namun, pada masa sama kerja pembinaan bagi bangunan lain akan diteruskan. Ini kerana kerja pembinaan tidak boleh dilakukan serentak bagi mengelakkan masalah logistik memandangkan jumlah keluasan lokasi ini yang terhad,” katanya.

    TRX dijangka menjadi Central Business District (CBD) selepas ia mula beroperasi kelak dengan Stesen TRX akan menjadi stesen paling sibuk di Kuala Lumpur dengan dua perkhidmatan (pengangkutan) dan sehingga 25,000 penumpang sejam pada waktu puncak.

    Kira-kira 50 peratus ruang yang disediakan adalah unit pejabat namun terdapat ruang untuk kediaman yang mewakili 30 peratus manakala hotel (10 peratus) dan ruang perniagaan (10 peratus). Menurutnya, 80 peratus tanah di bahagian utara sudah dikomersialkan dan dalam perbincangan lanjut.

    Azmar berkata, pihaknya membahagikan TRX kepada empat bahagian iaitu Suku Kewangan, Suku Gaya Hidup, Suku Taman dan Suku Bandar.

    “Untuk Suku Kewangan, hanya syarikat yang terbabit dalam sektor kewangan saja ditempatkan di sini bagi menjadikan TRX sebagai hab kewangan di Lembah Klang yang merangkumi institusi perbankan, pengurusan harta, pengurusan aset dan insurans.

    “Malah, syarikat yang menyokong sektor ini juga akan ditempatkan di sini yang meliputi syarikat teknologi, perkhidmatan logistik atau perkhidmatan perundangan,” katanya. Menurutnya, pihaknya memiliki plot tanah yang dikelaskan sebagai Suku Bandar dan ia tidak dibangunakan buat masa ini. 

    “Untuk plot ini, kami akan mengambil sikap tunggu dan lihat bagi meneliti jenis perniagaan yang boleh dijalankan di sini. Kami juga akan mengambil kira aspek perubahan teknologi bagi menyokong aktiviti yang boleh dilakukan di TRX dan ia mungkin boleh ditawarkan di plot ini,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Momentum Projek TRX Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top