My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 13 September 2017

    Komplot Rompakan Keluarga Malang



    Walaupun Logan Lucky berlatarkan litar lumba, filem arahan Steven Soderbergh ini bukan mengisahkan perlumbaan kereta. Sebaliknya, ia mengetengahkan perancangan sebuah keluarga merompak wang perlumbaan legenda Coca-Cola 600. 

    Rompakan itu dilakukan tiga beradik Logan iaitu Jimmy, Clyde dan Mellie dengan bantuan banduan digelar Joe Bang bagi mengubah nasib malang keluarga mereka. Channing Tatum yang melakonkan watak Jimmy berkata, peluang berlakon dalam filem arahan Soderbergh sukar ditolak kerana pernah bekerjasama dengan karyawan itu dalam filem Magic Mike XXL pada 2012.

    “Ketika itu, Soderbergh memberitahu dia mempunyai skrip mengisahkan rompakan kenderaan NASCAR. Saya ketawa apabila diberitahu rompakan itu dirancang sekumpulan penjenayah tidak profesional.

    “Tambahan pula ‘mangsa’ rompakan adalah organisasi besar. Tetapi saya suka jalan cerita seperti ini dan karakternya. Sebenarnya saya memang ingin bekerjasama semula dengan Soderbergh kerana menyukainya selain dia pengarah hebat kerana semua karyanya menampilkan kelainan,” katanya. 

    Menurut pelakon itu, sebagai persediaan untuk menghayati wataknya, dia menonton dokumentari The Wild and Wonderful Whites of West Virginia yang juga dicadangkan penulis layar Rebecca Blunt. 

    “Selain itu, saya juga minum banyak arak dan makan piza untuk menaikkan berat badan. Saya melakukannya atas inisiatif sendiri,” katanya. Adam Driver pula ketika mengambarkan wataknya, Clyde berkata, lelaki itu adalah pemikir dalam keluarga Logan dan sangat menyanjungi abangnya. 

    “Walaupun tindakannya lambat, dia mampu menganalisis situasi dari pelbagai sudut berbeza. Clyde seolah-olah menjadi penjaga kepada adik-beradiknya,” katanya. Menurut bintang Star Wars: The Force Awakens itu, ketika mengadakan sesi perbincangan, Soderbergh mahukan dia menumpu dalam menyempurnakan gaya percakapan Clyde.

    “Kami kurang fokus terhadap watak dan pengarah mahu saya menguasai kemahiran bertutur seperti penduduk West Virginia. Ketika itu, ada dua individu terlintas dalam fikiran saya sebagai sumber rujukan iaitu pelakon Sam Elliot dan bapa saudara saya, Kenny.

    “Jadi, karakter Clyde adalah gabungan Sam dan sebahagian besarnya daripada bapa saudara saya,” katanya. Menurut Driver, dia kemudian cuba bertutur seperti penduduk West Virginia untuk babak pertama wataknya selepas berlatih dengan pelatih dialek Diego Daniel Pardo.

    “Terdapat beberapa kru produksi yang membesar di West Virginia dan selepas mendengar saya bercakap, mereka sangat terkejut kerana tidak sangka saya dapat menguasai dialek penduduk sana dengan baik,” katanya.

    Bukan itu saja, watak Driver juga bekas anggota tentera yang cacat sebelah tangan akibat peperangan di Iraq dan sebagai persediaan, pelakon terbabit cuba membancuh Martini menggunakan satu tangan. Sementara itu, Logan Lucky menandakan pengembalian semula Soderbergh ke layar perak selepas mengumumkan mahu berehat daripada pembikinan filem sebelum ini.

    “Keputusan itu atas beberapa sebab dari segi teknologi dan kreativiti. Dengan kecanggihan teknologi masa kini, syarikat kecil boleh menghasilkan filem tanpa bantuan produksi besar.

    “Perbincangan mengenai Logan Lucky muncul ketika perbualan mengenai masa depan pengedaran filem. Produksi meminta saya mencari pengarah sesuai untuk Logan Lucky, pada masa sama saya turut teruja membaca skrip itu,” katanya.

    Selepas beberapa minggu berlalu, Soderbergh mengakui enggan membiarkan Logan Lucky dikendalikan pengarah lain kerana dapat membayangkan perkembangan plot cerita karya berkenaan. Pengarah itu berkata, filem berkenaan hampir sama dengan siri terkenal Ocean 11, 12 dan 13 cuma yang menariknya semua wataknya bukan penjenayah.

    “Berbeza dengan kru Ocean, Jimmy dan pasukannya terpaksa belajar mengenai rompakan. Ini menarik perhatian saya ketika membaca skrip,” katanya.

    Rompak wang perlumbaan 

    Dalam filem ini, Jimmy Logan terdesak memerlukan wang mendapat idea untuk merompak wang perlumbaan NASCAR yang akan berlangsung di Litar Charlotte Motor Speedway. Dia berjaya meyakinkan dua adiknya, Clyde yang hilang tangannya ketika berjuang di Iraq dan Mellie untuk membantu dia melaksanakan rancangan itu.

    Mereka kemudian menyeludup pakar merobohkan bangunan, Joe Bang dari penjara untuk membantu meletupkan trek lumba. Pada hari pertandingan, adik-beradik itu berjaya menyelinap masuk trek berkenaan dan cuba melarikan wang bernilai jutaan dolar disimpan dalam pejabat.

    Bagaimanapun, mereka berdepan masalah besar apabila ejen FBI Sarah Grayson mula meronda kawasan sebelum bertembung dengan kumpulan terbabit. Logan Lucky kini boleh disaksikan di pawagam seluruh negara.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Komplot Rompakan Keluarga Malang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top