PENYANYI Hazama, 33, terharu dengan reaksi yang diterima selepas menyamar sebagai gelandangan dan membuat persembahan di Bukit Bintang bersama sekumpulan pemuzik jalanan. “Saya dan pengurusan merancang melakukan eksperimen sosial ini bagi melihat sendiri penerimaan masyarakat terhadap seni.
“Adakah mereka lebih melihat penampilan dan populariti seseorang atau akan menghargai bakat dengan ikhlas,” katanya.
Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi turut berkongsi reaksi pertama orang ramai terhadapnya apabila tampil sebagai gelandangan. “Ketika saya muncul di kawasan itu, ada sekumpulan gadis lari dan menjauhi saya. Mungkin mereka takut kerana saya nampak sangat selekeh dan tidak terurus.
“Selepas selesai persembahan, saya dapat lihat masyarakat kita masih menghargai bakat berbanding populariti,” katanya. Kata Hazama lagi, tepukan dan sorakan yang diterimanya selepas selesai mempersembahkan beberapa lagu di lokasi itu juga membuatkannya terharu.
“Dalam program TV memang ramai yang bertepuk tangan dan bersorak tetapi sebagai penyanyi kita tak pasti sama ada reaksi itu tanda menghargai bakat kita atau untuk program. “Ketika melakukan eksperimen ini, saya rasa dihargai dan mereka berikan tepukan dengan jujur walaupun tidak tahu identiti sebenar ‘gelandangan’ itu,” katanya.
Kata penyanyi lagu Penglipur Lara itu lagi, dia juga terkejut dengan maklum balas orang ramai di media sosial dan akan meneruskan aktiviti sebegitu sebagai kerja amal. “Ramai menulis komen di video yang dimuat naik ke YouTube. Ada yang meneka gelandangan itu adalah saya dan ada juga yang masih tertanya-tanya.
“Kalau ada sokongan daripada mana-mana pihak yang ingin membantu, saya akan teruskan aktiviti ‘busking’ sebegini. Kita boleh kutip dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Hazama melakukan penyamaran itu pada 9 September lalu selepas merancang selama dua minggu. “Kami mencari jurusolek yang boleh menukar wajah saya menjadi orang lain. Sepanjang dua minggu, pelbagai persediaan dilakukan dan saya berpuas hati dengan hasilnya,” kata Hazama.
0 comments:
Post a Comment