My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 13 September 2017

    Semangat Tun Jeanne Kepada Atlet Para



    PENAUNG Majlis Paralimpik Malaysia, Tun Jeanne Abdullah optimis skuad para negara mampu mencapai sasaran 103 pingat emas sekali gus muncul sebagai juara keseluruhan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur (KL2017) yang bermula Ahad ini. 

    Enggan meletakkan tiga atlet para yang berjaya meraih emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 sebagai watak utama, Jeanne berharap KL2017 dapat menjadi platform kepada atlet-atlet lain untuk membuat kejutan dengan menyumbangkan pingat emas.

    Bagaimanapun, Jeanne enggan meletakkan tekanan yang tinggi kepada para atlet, sebaliknya mahu mereka memberi segala tumpuan sepenuhnya pada hari temasya. “Sebagai seorang ibu, jumlah pingat yang diraih mereka tidak penting. Saya hanya mahu mereka berikan yang terbaik dalam setiap acara dan buat kita semua bangga.

    “Bagaimanapun, saya yakin mereka mampu capai sasaran yang ditetapkan. Saya mahu mereka bersama-sama bangkit dan buktikan mereka sememangnya luar biasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan obor kepada kontinjen Para ASEAN di Kuala Lumpur, semalam.

    Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden MPM, SM Nasaruddin SM Nasimuddin. Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencabar kontinjen negara ke untuk berjuang habis-habisan bagi melepasi sasaran 103 pingat emas dan yakin impian itu mampu direalisasi berdasarkan persiapan rapi semua pihak.

    Jeanne turut menyeru seluruh khalayak Malaysia hadir dan memberikan sokongan padu kepada atlet kelainan upaya negara kerana mereka mampu memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia. “Saya harap ramai yang datang untuk lihat sendiri semangat atlet-atlet kita dan saya yakin mereka akan menitiskan air mata sama seperti saya.

    “Sebagai contoh, terdapat atlet bola keranjang berkerusi roda negara yang dahulunya seorang mat rempit dan kini berjuang mengharumkan nama negara,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Semangat Tun Jeanne Kepada Atlet Para Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top