My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 18 September 2017

    Rezeki Viral



    “Terima kasih kepada individu yang memuat naik kisah saya di laman sosial sehingga saya menerima sumbangan untuk persediaan melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. “Ini sedikit sebanyak membuatkan hati saya tenang meninggalkan kampung halaman di Ranau, Sabah untuk ke Semenanjung,” kata Mohd Firdaus Din Musddin, 19. 

    Kisah Mohd Firdaus dari Kampung Himbaan, Bundu Tuhan, Ranau yang memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke USIM dikongsi orang ramai di laman sosial, sejak beberapa hari lalu.

    Sumbangan itu bagi membantu pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Al- Irsyadiah Marakau, Ranau, itu mendaftar pengajiannya dalam Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam di USIM, hari ini. Ia turut mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun yang turut berkongsi status mengenai kisah pelajar itu laman Twitternya.

    Menurut Mohd Firdaus, meskipun kurang berkemampuan dari segi kewangan, dia nekad untuk mendaftar ke USIM kerana berjaya dalam permohonannnya kali ini selepas tiga permohonannnya sebelum ini tidak berjaya.

    Dia berkata, apabila mendapat tahu diterima untuk melanjutkan pengajian di USIM, dia terus ke Pusat Zakat Sabah (PZS) dan menerima bantuan pembiayaan tiket kapal terbang. “Saya bersyukur kerana Allah memberi peluang kepada saya selepas tiga kali gagal mendapat tawaran melanjutkan pengajian.

    Walaupun begitu, saya anggap semua yang terjadi sebagai hikmah untuk saya. “Saya tidak minta banyak, cukuplah Allah meredai perjalanan saya sepanjang menuntut di USIM dan Allah beri keberkatan dan rezeki kepada individu yang berkongsi kenyataan berkaitan saya sehingga menerima sumbangan mencukupi untuk ke UISM.

    “Sumbangan diterima ini dapat menampung perbelanjaan saya termasuk membayar yuran pengajian pada awal semester sementara menantikan kemudahan pembiayaan lain,” katanya. Dia ditemui sebelum berlepas dengan penerbangan ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam.

    Mohd Firdaus berkata, untuk ke KKIA, dia dihantar bekas guru sekolahnya di Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah Marakau Ranau. Bagaimanapun, dia sedikit sedih kerana ibu, Sayamah@Jaimah Kuntagil, 50, tidak dapat menghantarnya ke KKIA.

    "Sehingga kini, saya tidak tahu siapa yang mula-mula memuat naik kisah dan butiran peribadi saya di Internet. Saya berdoa supaya individu yang membantu saya mendapat rezeki berlipat kali ganda,” katanya.

    Bercerita lanjut, remaja ini berazam untuk mengubah nasib keluarga memandangkan berasal daripada keluarga susah. Bapanya sudah meninggal dunia sejak dia berusia dua tahun.

    “Sejak itu, ibu yang mengambil alih tugas membesarkan kami tujuh beradik. Ibu pernah bercucuk tanam untuk menyara keluarga sebelum bekerja sebagai ustazah di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al-Falah, Kampung Himbaan, Ranau.

    “Selepas sekolah, saya pernah berkhidmat sebagai guru ganti di SAR Nur Muhammad Lingkudau Ranau selama empat bulan. “Pendapatan itu sedikit sebanyak dapat membantu keluarga,” katanya. 

    Difahamkan, apabila tiba di Kuala Lumpur, beberapa individu sudah menyatakan kesediaan untuk membantu urusan pendaftaran Mohd Firdaus di USIM hari ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Rezeki Viral Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top