MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mencabar kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN dari 17 hingga 23 September ini untuk berjuang habis-habisan bagi melepasi sasaran 103 pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan di laman sendiri.
Beliau yakin kontinjen negara bagi temasya dwitahunan atlet kelainan upaya itu mampu merealisasikan impian itu berdasarkan persiapan rapi semua pihak termasuk atlet, jurulatih, persatuan sukan, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Bercakap pada perhimpunan akhir kontinjen negara malam tadi, Khairy turut mahu kontinjen negara yang dibarisi oleh atlet berpengalaman dan pelapis menjadikan kelainan upaya mereka sebagai kekuatan dan sumber inspirasi untuk melakar kejayaan.
“Bagi atlet muda pelapis negara pula, inilah platform terbaik anda untuk menunjukkan keupayaan seterusnya memacu diri untuk layak menyertai temasya serta pertandingan tertinggi di peringkat dunia pula. Janganlah Sukan Para ASEAN 2017 ini menjadi penyertaan pertama dan terakhir anda dengan memberikan yang terbaik dan membuktikan kewibawaan masing-masing.
“Pencapaian kita di Sukan Para ASEAN kali ini juga akan menjadi kayu pengukur kepada persediaan kontinjen negara apabila kita mempersiapkan kontinjen negara ke temasya Sukan Komanwel Atlet Elit Kelainan Upaya (EAD) dan Sukan Para Asia tahun depan,” katanya.
Pada edisi di Singapura dua tahun lalu, kontinjen negara menamatkan saingan di tempat ketiga selepas merangkul 52 pingat emas, 58 perak dan 37 gangsa.
Khairy, yang menyerahkan Jalur Gemilang kepada 16 wakil sukan terbabit turut berharap kejayaan kontinjen negara pada Sukan SEA bulan lalu yang melepasi sasaran 111 pingat emas untuk muncul juara selepas meraih 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa, mampu meningkatkan semangat juang atlet negara.
“Jadi kali ini giliran kontinjen para untuk membuktikan saudara-saudari sekalian boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kontinjen Sukan SEA yang lalu,” katanya.
Kontinjen negara yang terdiri daripada 326 atlet dan 167 pegawai akan menyertai 289 acara daripada 16 jenis sukan, termasuk olahraga, catur, memanah, berbasikal, bola sepak CP, bowling dan bola keranjang kerusi roda.
0 comments:
Post a Comment