My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 14 September 2017

    Agenda Terancang American Made




    JIKA menyebut nama aktor Tom Cruise, pastinya francais popular lasak dan aksi Mission Impossible berlegar dalam kotak pemikiran. Sarat dengan aksi perisik handalan bernama Ethan Hunt, aksi lincah dan hebat yang dipamerkan aktor kacak itu akan dikenang sepanjang zaman. 

    Tampil dengan sedikit kelainan menerusi filem American Made, Cruise memaparkan sisi berbeza dalam lakonannya apabila memegang watak sebagai juruterbang dan perisik Central Intelligence Agency (CIA).

    Filem American Made mengisahkan kehidupan seorang lelaki bernama Barry Seal, bekas juruterbang profesional yang terjebak dalam kancah pengedaran dadah bersama kumpulan komunis sekitar era 1970-an hingga 1980-an.

    Tawaran untuk menjadi perisik hadir selepas Barry didatangi seorang ejen khas bernama Monty Schafer (Domhnall Gleeson) dengan memberi jaminan pihak berkuasa akan menutup mata terhadap jenayah penyeludupan cerut kecil-kecilan yang dilakukan Barry suatu ketika dahulu.

    Tidak terlalu sarat dengan aksi, sebaliknya American Made lebih memfokuskan kepada kisah Barry yang bekerja untuk CIA dan komplot terancang tentang penyeludupan dadah sehingga membuatkan dia terperangkap antara beberapa badan berkuasa yang terlibat.

    Namun, demi mengelakkan dirinya daripada dipenjara akibat jenayah yang dilakukan, Barry cuba mendekati pihak berkuasa dengan menawarkan diri untuk menjadi penyalur maklumat kepada agensi penguat kuasa dadah Amerika Syarikat.

    Dari minit pertama hingga penamat cerita, plot berkisar tentang strategi Barry membina empayar penyeludupan dadah dengan cara paling licik iaitu menggunakan kapal terbang dan menghantar bekalan dadah dengan cara sangat efisien.

    Memasuki bahagian klimaks, jalan cerita diselitkan sedikit dengan unsur suspens apabila adik ipar Barry iaitu JB (Caleb Landry Jones) ditangkap polis selepas dikesan membawa sebuah beg penuh wang tunai hasil penyeludupan dadah.

    Kejadian tersebut menjadi titik tolak kepada pembongkaran kegiatan Barry dan menyebabkan dia terpaksa menghantar JB ke tempat lain bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku lagi.

    Plot yang tidak terlalu sukar untuk diterjemahkan penonton, namun sekali sekala, American Made mengandungi jalan cerita yang memerlukan penonton mengerah akal untuk berfikir.

    Namun, apa yang kurangnya tentang filem berkenaan adalah penggunaan kamera yang tidak statik membuatkan penonton sukar menghayati penceritaan dengan baik meskipun ia menjadi salah satu konsep sinematografi dalam pembikinan naskhah terbabit.

    Selain tidak bertunjangkan babak aksi sebagai pelaris, filem tersebut juga diceriakan dengan beberapa babak humor membabitkan watak utama sendiri iaitu Barry selain beberapa watak lain yang berjaya menghidupkan jalan cerita dengan baik.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Agenda Terancang American Made Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top