My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 26 September 2017

    Kepakaran Tahap Global



    Kejayaan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam pengendalian operasi tren haji, Al-Mashaaer Al-Mugaddasah Metro Southern Line (MMMSL) membuktikan potensi besar negara sebagai pengeksport modal insan dan khidmat kepakaran di peringkat global. 

    Bagi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), ia sebahagian daripada segmen baru yang perlu diberikan perhatian dalam usaha memperkukuhkan aktiviti perdagangan luar negara khususnya di Arab Saudi yang ketika ini lebih bertumpu kepada eksport produk.

    Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di sini, Khairul Annuar Abdul Halim berkata, pengalaman di tanah air dimanfaatkan sepenuhnya syarikat berkenaan dalam meneroka sektor pengangkutan awam di negara berkenaan terutama dalam pengendalian operasi tren haji.

    “Dengan kehadiran 650 petugas di peringkat pengurusan dan sokongan termasuk kejuruteraan serta teknikal, Prasarana berjaya mengendalikan operasi tren berkenaan yang diperakui sebagai paling padat dan sibuk di dunia dengan lancar hingga dikagumi Arab Saudi dan negara Islam lain. 

    “Semangat Prasarana dalam memanfaatkan peluang eksport itu seharusnya menjad ikutan syarikat tempatan lain untuk meneroka peluang seumpamanya di peringkat global khususnya di Arab Saudi,” katanya, di sini.

    Beliau berkata, keupayaan syarikat berkenaan turut membuka mata beberapa operator tren dari kalangan negara maju lain, sekali gus mewujudkan persaingan dalam merebut peluang pengendalian operasi tren itu pada musim haji akan datang.

    Bagaimanapun, katanya, pihaknya yakin dengan pelbagai kelebihan dimiliki syarikat tempatan itu terutama dari segi pemilikan tenaga kerja mahir dan pakar selain pengalaman luas dalam sektor pengangkutan awam menyebabkan peluang dijangka terus diberikan kepada Prasarana.

    “Malaysia juga berpotensi membekalkan tenaga kerja dalam sektor perubatan, hospitaliti, kejuruteraan dan pembinaan. Kita sudah membuktikan melalui pasukan jurutera dalam projek pembesaran Makkah selain tenaga pakar sektor minyak dan gas di Rabigh, Jeddah,” katanya.

    Menurutnya, perkembangan positif itu susulan usaha Riyadh mempelbagaikan sumber ekonominya bagi mengelak kebergantungan terhadap hasil petroleum akibat ketidaktentuan harga pasaran minyak dunia hingga kini berada di bawah paras AS$50 setong.

    Dalam konteks itu, Khairul Annuar memaklumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga disenarai pendek oleh Arab Saudi bagi bidaan projek pembekalan tenaga solar seiring dengan usaha membangunkan teknologi hijaunya, sekali gus memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negara itu. 

    “Justeru, keberadaan tenaga kerja mahir dan pakar ini termasuk syarikat kita di Arab Saudi membuktikan kesediaan negara dalam membekalkan modal insan berkemahiran tinggi serta meneroka peluang ekonomi di peringkat global,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Malaysia–Arab Saudi mencatatkan prestasi dagangan cukup memberangsangkan pada tahun lalu apabila mencatatkan peningkatan 27.8 peratus kepada RM14 bilion berbanding RM11 bilion pada tahun sebelumnya.

    Menurutnya, sektor pembinaan masih mendominasi hubungan kerjasama perdagangan itu selain industri petroleum, pengangkutan awam, aeroangkasa, produk halal dan perkhidmatan haji.

    “Dalam kalangan negara Islam, Arab Saudi terus mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang utama dan strategik bagi Malaysia yang mampu memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh jangka panjang,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kepakaran Tahap Global Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top