Di seluruh dunia, antara perkara yang menjadi masalah besar buat komuniti rakyat adalah masalah keruntuhan akhlak remaja. Umum sedia maklum bahawa golongan remaja ini adalah golongan yang diharapkan mampu menjadi pelapis samada dari segi kepimpinan mahupun kehidupan yang akan datang. Pada fasa inilah kehidupan seseorang manusia akan berhadapan dengan cabaran yang cukup besar.
Perkara ini tidak terkecuali dengan Malaysia. Satu ketika dahulu, golongan remaja ini dididik dan dilentur mengikut kesesuaian sesuatu budaya. Justeru, tidak hairanlah apabila mereka yang pernah mendapat sentuhan didikan budaya dan adab resam, hari ini mampu berdikari dan mampu memilih laluan yang mereka fikirkan betul tanpa menyusahkan orang.
Namun hari ini, golongan remaja seawal usia 8 tahun sudah mula mengenali apa itu dadah, seks bebas dan ada diantaranya sudah mula menganggotai kumpulan gangsterism. Situasi ini sebenarnya cukup membimbangkan kerana mengikut statistik, pada usia seawal 12 tahun, sudah ada remaja mengandung di luar nikah dan telah menganggotai kumpulan gangsterism.
Di manakah silapnya? Adakah situasi kemodenan hari ini telah menyebabkan golongan fasa paling kritikan ini dihanyutkan tanpa sedar? Adakah disebabkan kebebasan teknologi maklumat hari ini telah menyebabkan mereka semakin kehilangan akal yang waras dan tidak lagi mampu berfikir secara normal dan berdikari?
Mari kita lihat apa yang berlaku di dalam kalangan remaja perempuan hari ini. Dahulu, kelompok remaja perempuan kita merupakan kelompok yang cukup pemalu. Mereka lebih senang memerap di rumah berbanding berpeleseran bersama-sama rakan perempuan dan lelaki. Malah, untuk melihat mereka bergerak bebas, adalah satu perkara yang amat sukar pada ketika itu.
Namun hari ini senarionya berubah. Seperti yang kerap kali dilaungkan oleh pejuang hak asasi wanita, mereka seolah-olah mahu menyaingi kaum lelaki sebaya dengan mereka. Pendek kata, apa yang lelaki buat, itulah yang mereka mahu buat. Berpeleseran, lumba haram sehinggalah sanggup menyerahkan diri mereka ditiduri, seolah-olah sudah menjadi trend yang sukar dikawal.
Mungkin ada yang mengatakan, ini adalah imiginasi penulis. Namun, sekiranya kita mengkaji dimana remaja perempuan ini menunjukkan belang sebenar mereka, mari kita lihat di beberapa applikasi android seperti Bigo Live dan Tumblr yang menjadi bukti, betapa teruknya permasalahan akhlak dikalangan remaja wanita hari ini.
Bagi remaja lelaki pula, tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran di Keramat baru-baru ini menjadi bukti bahawa dikalangan remaja lelaki hari ini memang berhadapan dengan permasalahan yang amat-amat kronik. Penulis enggan menyentuh mengenai siasatan pihak PDRM terhadap 7 orang remaja yang disyaki menjadi dalam kebakaran berkenaan.
Cuma apa yang ingin disentuh adalah, penglibatan remaja seawal usia 12 tahun dengan najis dadah. Timbul persoalan, adakah kana-kanak dan remaja ini dilahirkan oleh pokok, kereta ataupun deretan batu bata yang semua orang tahu adalah objek bisu? Jika tidak, di mana kedua ibu bapa remaja berkenaan disaat rakan sebaya mereka sedang fokus terhadap pelajaran?
Itu baru satu masalah, bagaimana pula penglibatan remaja seawal usia 14 tahun sudah mula menjadi jokey lumba haram di mana pada waktu itu sepatutnya mereka sedang tidur? Bukankah mereka sepatutnya berada di bawah kawalan kedua ibu bapa mereka dan seharusnya kedua ibu bapa mereka mengawasi setiap langkah anak-anak mereka?
Dari kesemua masalah remaja inilah maka munculnya beberapa pihak yang menganggap diri mereka taiko besar, merapati golongan bermasalah ini dengan menawarkan peluang untuk menjadi gangster. Mereka dilentur, di didik dan diasuh dengan gerak gaya gangsterism dan akhirnya mereka dijadikan hamba suruhan taiko-taiko ini untuk menjalankan kerja kotor mereka.
Justeru, tidak hairanlah apabila kita pernah terbaca, remaja seusia 14 tahun sudah menjadi ahli kumpulan gangster "cabuk" yang secara tiba-tiba menjadi kebal dan berjalan mengepak. Adakah ini yang dinamakan kumpulan remaja yang akan menjadi pelapis negara satu hari nanti? Bagi pengamatan penulis, mereka memang menjadi pelapis, pelapis kepada para banduan yang ada di dalam penjara hari ini.
Untuk berlaku adil, tidak semua remaja kita berada diambang kehancuran. Masih ada lagi remaja yang mementingkan masa hadapan mereka berbanding menjadi calon pelacur, calon pelakon lucah, calon pembunuh, calon penagih, calon pelakon aksi berani mati dan calon banduan. Cuma seandainya tidak dibendung dari awal, jangan hairan apabila kita kehilangan keseimbangan sosio budaya.
Benar, dizaman materialistik ini, ibu bapa mungkin terpaksa mengorbankan masa berkualiti bersama anak-anak mereka. Namun jika kedua ibu bapa memilih untuk menjadi hamba duit, maka lahirlah golongan hantu, pelesit dan pontianak ini di dalam kelompok masyarakat kita.
Paling utama, peranan guru-guru untuk menghukum murid bermasalah harus dikembalikan semula. Penulis percaya, tidak ada seorang pun guru-guru di dunia ini mahu membunuh anak murid mereka. Hukuman yang mereka lakukan adalah setimpal dengan kesalahan anak-anak kita. Logikkah, seorang murid membuat salah besar seperti mencuri, hukumannya adalah teguran penuh lemah lembut?
Penulis percaya, majoriti pembaca artikel ini pernah sekurang-kurangnya sekali menerima rotan dari guru disiplin. Namun hal ini tidak lagi berlaku di zaman moden ini. Setiap kali guru naik tangan, samada ibu ataupun bapa bertindak menyerang seluruh sekolah walaupun hakikatnya, anak mereka memang bermasalah di sekolah.
Ingatlah, sebermula usia 6 tahun sehinggalah 17 tahun, masa anak-anak kita lebih banyak di sekolah berbanding dirumah. Seandainya peranan para guru ini diterhadkan, dengan kedua ibu bapa lebih sibuk menjalankan tugasan sebagai hamba duit, masalah keruntuhan akhlak remaja kita akan bertambah kronik dan mungkin sukar lagi untuk dipulihkan.
0 comments:
Post a Comment