Petrosains baru-baru ini membawa kembali festival sains terbesar bagi mencetuskan minat terhadap pembelajaran sains sambil meningkatkan kesedaran berkenaan kepentingan gaya hidup yang lestari. Festival itu untuk meraikan sains, memupuk masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan saintifik serta membudayakan sains dalam kalangan masyarakat melalui platform yang menyeronokkan.
Bertemakan ‘Sustainable Living’ atau Kehidupan Lestari, festival itu mengetengahkan amalan gaya hidup yang lestari seperti kitar semula, penjimatan tenaga, mengurangkan pembaziran makanan dan pengurusan pembuangan sampah yang berhemah.
Sebagai wadah tanggungjawab sosial korporat PETRONAS dalam teras pendidikan, festival anjuran Petrosains itu adalah untuk menyokong perjalanan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju, holistik dan mampan.
Melalui sokongan rakan kerjasamanya yang terdiri daripada korporat, ahli akademik dan usahawan sosial, festival itu memainkan peranan untuk memastikan kemajuan serta pembangunan negara berjalan seiring dengan kesejahteraan alam sekitar dan masyarakat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata, pusat sains adalah institusi yang dipercayai umum sebagai wadah ideal untuk mempelajari dan menyelesaikan masalah global yang melanda dunia kita.
Katanya, program pendidikan, bahan pameran dan demonstrasi mempunyai potensi untuk membantu orang ramai memahami impak perilaku manusia dari segi sosial, persekitaran dan ekonomi terhadap masa hadapan dunia. “Kami komited mempromosi pembelajaran sains dengan cara yang mudah dan menarik dalam menyampaikan pendidikan amalan lestari.
“Berlandaskan slogan Usaha-Usaha Kecil Demi Bumi Kita, festival ini mempertontonkan idea untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan cara kehidupan lestari dan menunjukkan bagaimana usaha kecil dalam kehidupan seharian kita boleh membantu memberikan impak positif di bumi ini,” katanya.
Festival yang berlangsung selama tiga hari itu dipenuhi dengan pelbagai program menarik menonjolkan usaha lestari dari sudut sains dan antara aktiviti itu adalah pengalaman realiti berperantara, sesi forum dan sudut kreatif.
Buat pertama kali, festival itu juga membawakan acara satelit Mydigital Maker Fair di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi mendedahkan teknologi terbaru dan berinovasi kepada orang ramai.
Selari aspirasi Petrosains untuk menarik minat dan perhatian masyarakat terhadap sains, festival itu turut membawakan persembahan sains dan persembahan selebriti tempatan seperti Altimet, Paperplane Pursuit, Fazz dan penyokong tegar usaha penghijauan Malaysia iaitu Datuk Zainal Abidin yang mendendangkan lagu ikoniknya, Hijau.
Tengku Nasariah berkata, pembelajaran yang menyeronokkan semasa festival ini tidak hanya melalui pembelajaran nyata tetapi juga pembelajaran secara digital.
Menurutnya, selaras tema lestari, penggunaan kertas dikurangkan secara minimum dan pelawat yang datang ke festival itu perlu menggunakan aplikasi Petrosains Science Festival untuk menyusuri perjalanan lawatan, mencari maklumat serta bermain permainan ‘3D Hunt and Redeem’ yang boleh didapati melalui aplikasi itu.
“Festival ini bukan saja memberikan pengunjung pengalaman pembelajaran yang mengagumkan dan menyeronokkan malah dapat mempelajari kehidupan lestari dan cara melindungi bumi yang kita duduki ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment