My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 21 September 2017

    Kim Swee Boleh Ukir Senyuman



    KEWIBAWAAN pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diterajui Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi elemen penting buat Datuk Ong Kim Swee untuk meneruskan tugasnya sebagai pengendali skuad jurulatih bawah 22 tahun (B-22) negara. 

    Jurulatih kelahiran Melaka itu memberi bayangan bersetuju untuk melanjutkan kontrak baharu bersama badan induk itu selepas kontraknya bakal tamat pada Disember depan.

    Kim Swee berkata, beliau cukup yakin dengan kepimpinan Tunku Ismail yang telah memberi jaminan mengenai demi masa depan para pemain muda, sekali gus membuatkannya tidak ragu-ragu untuk menolak tawaran-tawaran lumayan daripada kelab luar negara.

    “Buat masa ini, saya masih belum menandatangani kontrak tetapi secara dasarnya, saya telah bersetuju (untuk melanjutkan kontrak). Ini kerana saya tidak pernah berasa ragu-ragu dengan Tunku (Ismail) dan di bawah pucuk pimpinan baginda, saya percaya bola sepak Malaysia mampu melangkah lebih jauh.

    “Tunku telah banyak memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada saya. Sudah pasti saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mencipta sejarah baharu dalam bola sepak negara bersama Tunku.

    “Benar (keputusan melanjutkan kontrak) disebabkan saya begitu yakin dengan kepimpinan Tunku dan saya percaya bola sepak Malaysia akan bertambah maju serta moden di bawah kepimpinan baginda,” katanya semalam.

    Sebelum ini, masa depan Kim Swee menimbulkan tanda tanya selepas beliau dikaitkan dengan beberapa kelab di Asia Tenggara, khususnya Indonesia yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya selepas berakhir Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lalu.

    Namun, spekulasi itu berakhir apabila Tunku Ismail pada sidang akhbar memperkenalkan piala baharu Liga Super di Johor Bharu semalam mengesahkan, bekas jurulatih Harimau Muda A itu memberikan isyarat positif untuk meneruskan tugasnya sejak mengambil alih daripada Frank Bernhardt pada Mac lalu.

    Dalam perkembangan sama, Kim Swee juga percaya keputusan melanjutkan kontrak lebih awal itu bakal memudahkan pe­rancangannya dalam misi mengharungi kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 Januari tahun depan.

    Kini, Kim Swee, 46, menunggu restu Tunku Ismail untuk membentangkan beberapa persiapan skuad B-22, antaranya mengadakan perlawanan persahabatan di Korea Selatan sebelum berlepas ke China nanti.

    “Ia memudahkan saya untuk menyiapkan pasukan yang bakal bermain di AFC B-23 dan beberapa perancangan persiapan masih berada dalam proses, antaranya mengadakan kem latihan negara di Korea Selatan.

    “Namun, ia masih belum muktamad kerana saya mahu membentangkan segala persiapan kepada Tunku terlebih dahulu. Apa yang mustahak adalah saya gembira kerana masih dapat kekal bersama FAM di bawah pimpinan Tunku,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kim Swee Boleh Ukir Senyuman Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top