My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 18 September 2017

    Obor Perjuangan KL2017 Bermula



    SUKAN Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang membuka tirai secara rasmi de­ngan penuh gilang-gemilang bertemakan ‘Bangkit Bersama’ menonjolkan pelbagai persembahan berwarna-warni di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi. 

    Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku sebelum 11 bendera negara yang bertanding pada KL2017 dan bendera Persekutuan Sukan Para ASEAN dibawa masuk oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Maskot rasmi ‘Rimau’ kemudiannya diperkenalkan sebelum bermulanya perarakan kontinjen dengan yang kontinjen pertama adalah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, Myanmar, Vietnam dan kontinjen Malaysia yang diketuai Chef-de-mission, Datuk R. Subramaniam.

    Barisan atlet para negara juga diketuai tiga pembawa Jalur Gemilang iaitu Mohd. Ridzuan Puzi (pelari T36 acara 100 meter), Muhammad Ziyad Zokefli (lontar peluru F20) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh T20).

    Orang ramai yang hadir pada majlis perasmian turut dipersembahkan dengan nyanyian bertajuk We Are One oleh penyanyi tempatan yang mencipta nama di pentas antarabangsa, Yuna.

    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam ucapan pada majlis itu berharap usaha dan kejayaan atlet para akan dijadikan pedoman kepada semua agar menjadi bangsa yang tidak pernah mengenal erti kalah atau memberi seribu macam alasan sekali gus berani mengimpikan cita-cita besar.

    “Saya masih ingat lagi tarikh 11 September 2016, tarikh paling gemilang dalam sejarah sukan Malaysia. Dalam tempoh 24 jam, bukan satu, bukan dua, tetapi tiga pingat emas dimenangi atlet negara kita di peringkat tertinggi iaitu Sukan Paralimpik (Rio, Brazil 2016).

    “Kisah Ridzuan, Ziyad dan Latif sudah menjadi legenda moden negara kita. Usaha atlet para mengatasi kekangan fizikal atau intelektual mengingatkan kita bahawa tiada apa yang boleh menghalang semangat nurani untuk menggapai cita-cita,” katanya.

    Sementara itu, perasmian sukan para dwitahunan terbesar Asia Tenggara kali kesembilan malam tadi disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Majlis perasmian kemudiannya diteruskan dengan bacaan ikrar diketuai jaguh powerlifting negara, Sharifah Raudzah Syed Akil.

    Acara kemuncak penyalaan obor disempurnakan oleh lima atlet para negara iaitu Hasihin Sanawi (memanah), Muhammad Afiq Afify Rizan (basikal), Khrisna Kumar Haridas (olahraga), Siti Noor Radiah Ismail (olahraga) dan Fraiden Dawan (renang).

    Sukan Para ASEAN kali ini menawarkan 368 pingat emas daripada 16 jenis sukan yang dipertandingkan dan Malaysia menyasarkan 103 pingat emas untuk muncul sebagai juara ke­seluruhan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Obor Perjuangan KL2017 Bermula Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top