Pada masa sama, tugas mereka turut menyelamatkan insan tidak bersalah. Semua misi pasukan berkenaan diselesaikan dengan bantuan Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) yang dikendalikan ketua operasi, Patricia Campbell lakonan Anne Heche.
Lebih menarik, ini kali pertama sebuah produksi bekerjasama dengan ibu pejabat DIA yang berpangkalan di Washington DC, Amerika Syarikat untuk memberi panduan serta bimbingan membabitkan pelaksanaan misi menyelamatkan mangsa tebusan, pertemuan perisik dan menumpaskan penjenayah paling bahaya.
Menggambarkan pengalamannya membintangi dalam The Brave, Heche menganggap kepercayaan diberikan penulis skrip, Dean Georgaris untuk melakonkan watak ketua operasi DIA yang dicipta khas untuknya satu penghargaan besar.
“Georgaris menghantar skrip berserta surat menjelaskan dia mahu menghasilkan siri yang mengetengahkan pasukan khas dan sikap kemanusiaan mereka ketika berjuang. “Saya berpendapat kisah ini sesuai untuk memaparkan pengorbanan anggota keselamatan negara yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari,” katanya.
Pelakon itu memberitahu dia hanya mengambil masa lima minit untuk membaca skrip sebelum membalas surat Georgaris untuk memaklumkan persetujuannya. “Skrip ditulis seperti filem yang sarat dengan pelbagai misi. Dengan plot cerita menarik dan barisan pelakon mantap, saya bangga dapat menjayakan drama ini.
“Permulaan episod pertama memaparkan seorang doktor Amerika Syarikat di Timur Tengah diculik. Saya yakin siri ini mampu menarik ramai penonton,” katanya.
Selama 32 tahun menceburi industri seni, Heche mendedahkan watak wanita kuat dan mempunyai personaliti menarik seperti Patricia Campbell adalah yang pertama baginya. “Patricia memiliki tahap keyakinan diri tinggi selain mempunyai ilmu pengetahuan luas dalam pelbagai bidang.
“Menariknya, dia pernah berkhidmat sebagai anggota tentera. Saya mahu menjadi bijak dan berpengetahuan seperti Patricia. Setiap minggu ketika penggambaran, saya dapat mempelajari banyak perkara baru mengenai pelbagai hal yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.
Selain memantau dan memberi arahan kepada pasukannya dari pejabat yang berhawa dingin, Heche memberitahu wataknya turut turun padang. “Sebahagian besar saya bertugas di pejabat namun ada juga turun padang ke beberapa lokasi antaranya Afghanistan apabila Patricia melawat kubur rakannya yang meninggal ketika membina sekolah untuk kanak-kanak di sana,” katanya.
Menurut pelakon itu, beberapa babak yang memaparkan wataknya sebagai perisik membolehkan dia memahami tugas sebenar ejen keselamatan. “Memang seronok dapat lihat macam-macam gajet canggih digunakan, menyamar dan menyelinap keluar masuk kediaman penduduk,” katanya.
Selain pasukan Patricia di DIA, siri ini turut memaparkan pasukan khas dikendalikan Leftenan Pertama Adam Dalton bersama pakar penembak Sarjan Jasmine Khan, anggota medik Sarjan Joseph McGuire, perisik Ejen Amir Al-Raisani dan Ezekiel Carter.
Turut membintangi The Brave adalah Mike Vogel, Demetrius Grosse, Natacha Karam, Noah Mills, Sofia Pernas, Hadi Tabbal dan Tate Ellington. Saksikan episod pertama The Brave pada jam 10 malam ini di saluran Cinemax dan siaran itu serentak dengan tayangan di Amerika Syarikat. Siri ini juga boleh ditonton di HBO On Demand menerusi aplikasi Astro GO.
0 comments:
Post a Comment