Lazada Malaysia, penyedia platform beli-belah atas talian Lazada berhasrat menarik lebih 50,000 peniaga menggunakan platform itu menjelang hujung 2018. Ketua Pegawai Eksekutifnya Hans-Peter Ressel berkata, sehingga kini 19,000 peniaga mendaftar dan menyertai platform terbabit yang kebanyakannya syarikat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).
“Kami percaya angka ini mampu dicapai melalui pertumbuhan pesat sektor e-dagang di negara ini dan perkongsian strategik dengan agensi kerajaan dan swasta,” katanya pada program #EveryoneCanSell dan Persidangan Usahawan E-Dagang oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, di sini, semalam.
Beliau berkata, perkongsian strategik Lazada Malaysia dengan syarikat dan agensi terkemuka di Malaysia meningkatkan sokongan syarikat kepada PKS dalam aspek peningkatan keupayaan, inovasi dan produktiviti.
Menurutnya, syarikat berharap keupayaan PKS dipertingkatkan apabila mereka memanfaatkan ekosistem digital holistik melalui penganjuran program #EveryoneCanSell. “Program ini adalah pusat latihan terbaik bagi perniagaan tempatan meningkatkan diri dengan peralatan dan kemahiran tepat yang diperlukan bagi kempen kami yang seterusnya November ini,” katanya.
#EveryoneCanSell adalah program e-dagang bersepadu menyeluruh anjuran Lazada Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta SME Corp, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Telekom Malaysia Berhad (TM).
Sementara itu, Ahmad berkata, perniagaan tempatan perlu melakukan transformasi dalam perniagaan mereka untuk memenuhi keperluan ekonomi digital sepenuhnya.
“Peneraju pasaran e-dagang seperti Lazada Malaysia membantu PKS meneruskan pertumbuhan perniagaan atas talian di negara ini dan membantu kerajaan menggandakan pertumbuhan e-dagang daripada 10.8 peratus kepada 20.8 peratus menjelang 2020 nanti,” katanya. Berdasarkan statistik SSM, 57,072 peniaga atas talian berdaftar dengan SSM sehingga kini.
0 comments:
Post a Comment