My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 15 September 2017

    30 Sekolah Daif Dinaik Taraf



    Kerajaan meluluskan 30 projek pembangunan semula sekolah di seluruh Sarawak yang dikategorikan sebagai sekolah daif dan sekolah kurang murid. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Sekolah Daif dan Sekolah Kurang Murid yang julung kali diadakan di Sibu.

    Menurutnya, beliau juga sedia maklum dengan komitmen kerajaan negeri yang menjadikan pembangunan sekolah daif sebagai keutamaan seperti dibincangkan ketika Mesyuarat Kabinet Negeri pada 24 Ogos lalu.

    “Antara isu yang diberi keutamaan ialah masalah kemudahan utiliti seperti ketiadaan bekalan air di 447 sekolah, manakala 375 sekolah lagi masih belum menerima bekalan elektrik.

    “Bagi sekolah kurang murid, sebanyak 651 sekolah yang menghadapi masalah itu harus ditangani dengan cekap dan berhemah, termasuk usaha Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak mengenal pasti 356 sekolah yang sesuai digabungkan,” katanya ketika sidang media di Bilik Orang Kenamaan di Lapangan Terbang Sibu di sini, semalam.

    Sempena lawatan kerja beliau ke bandar ini semalam, Ahmad Zahid meluangkan masa melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby dan Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai Salim, di sini. 

    Lawatan kedua-dua sekolah itu bagi membolehkan beliau meninjau keadaan sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah daif di negeri ini dengan diiringi Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon.

    Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan terus memberi fokus dan komitmen yang tinggi untuk membangunkan semula sekolah daif di Sarawak sebagai satu agenda negara. “Fokus utama yang dilaksanakan ialah melalui kaedah Sistem Bangunan Industri (IBS) bagi mempercepatkan pembinaan sekolah daif. IBS membolehkan pembinaan sebuah sekolah hanya antara 12 hingga 24 minggu saja. 

    “Kerajaan juga akan menjalin kerjasama antara sektor awam dan swasta melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),” katanya.

    Sejumlah 1,454 sekolah yang ada di Sarawak dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,020 sekolah dikategorikan sebagai sekolah daif. Sepanjang 2016 sehingga tahun ini, sebanyak 50 sekolah daif yang sudah dan sedang dalam pembinaan melalui kaedah IBS. Daripada jumlah itu, 23 sekolah sudah siap dibina, manakala 27 lagi dalam pembinaan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 30 Sekolah Daif Dinaik Taraf Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top