Sumber dana bakal diperoleh Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) perlu diketahui terlebih dulu sebelum mempertimbangkan cadangan syarikat itu untuk mengambil alih PLUS Malaysia Berhad (PLUS), syarikat konsesi lebuh raya utama negara.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu mengetahui perkara itu secara terperinci bagi mengelakkan urus niaga berkenaan merugikan negara dan rakyat pada masa hadapan.
“Jika ada sesiapa yang membuat cadangan (pengambilalihan), pertamanya saya nak tanya, duit itu datang dari mana? Kalau duit dari luar negara (saya), nak tahu juga adakah berunsur pinjaman atau sebaliknya.
“Kalau berunsur pinjaman, kalau ia (pinjaman) tidak boleh dibayar kerana ia tidak ada peningkatan dan sebagainya, akhirnya apa jadi...ia akan menyebabkan aset strategik negara jatuh ke tangan orang luar,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Fiesta Labur Permodalan Nasional Berhad (PNB) 2017 di sini, semalam.
Maju Holdings sebelum ini mengemukakan tawaran bernilai RM36 bilion untuk membeli keseluruhan aset dan liabiliti PLUS dari UEM Group Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengerusi Eksekutif Kumpulannya Tan Sri Abu Sahid Mohamed dipetik sebagai berkata, tawaran berkenaan amat menarik kerana ia jauh lebih tinggi berbanding nilai wajarnya, sekali gus membuktikan Maju Holdings amat serius untuk memuktamadkan urus niaga berkenaan.
UEM Group memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala bakinya 49 peratus dikuasai KWSP.
Johari berkata, cadangan itu juga bukan perkara baru kerana sebelum ini beberapa pihak sudah mengemukakan cadangan berkenaan. “Saya bukan cakap tidak boleh, cuma nak tahu model kewangannya. Kita perlu tahu dari mana mereka mendapatkan dana dan adakah mereka yakin boleh membayar balik (pinjaman itu), kalau tidak aset (negara) kita akan hilang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment