My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 5 September 2017

    Bank Bakal Ketat Kelulusan


    Institusi perbankan dijangka sentiasa berhati-hati dalam meluluskan pemohonan pinjaman meskipun secara umumnya ia memiliki keupayaan tinggi untuk terus memberikan pinjaman kepada orang ramai di negara ini. 

    Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah itu dilaksanakan berikutan nisbah pinjaman tidak berbayar yang masih lagi menunjukkan trend menaik pada masa ini. Menurutnya, bakal peminjam dan peminjam sedia ada perlu sentiasa menjaga serta terus menepati masa untuk melunaskan komitmen pinjaman.

    “Perkara ini amat penting bagi memastikan skor kredit kekal baik dan jika mampu dilaksanakan maka ia akan memudahkan peminjam untuk memohon pinjaman seterusnya,” katanya, di sini, semalam.

    Pada minggu lalu, Bank Negara Malaysia melalui sorotan bulanan Julai 2017 melaporkan bahawa pertumbuhan pembiayaan berada pada tahap sederhana namun ia terus menyokong kegiatan ekonomi dengan kadar pertumbuhan pinjaman terkumpul sistem perbankan stabil pada kadar 5.6 peratus berbanding 5.7 peratus pada Jun lalu.

    Mengulas perkara itu, beliau berkata prestasi itu disokong pertumbuhan di dalam pinjaman kepada sektor isi rumah yang mencatatkan pertumbuhan 5.1 peratus untuk tempoh empat bulan berturut-turut. Menurutnya, pertumbuhan pinjaman kepada hartanah kediaman menunjukkan peningkatan yang sama bagi bulan Julai dan Jun iaitu 8.9 peratus.

    “Angka ini lebih baik berbanding 8.6 peratus yang dicatatkan pada Mei lalu, sekali gus memberi gambaran sektor hartanah kediaman menunjukkan tanda pemulihan selepas mengalami kelembapan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” katanya.

    Afzanizam berkata, bagaimanapun kualiti aset pinjaman masih menunjukkan trend tidak sekata berikutan peningkatan di dalam nisbah pinjaman tidak berbayar kepada 1.68 peratus pada Julai lalu. Sebelum ini, nisbah pinjaman tidak berbayar didapati menurun kepada 1.65 peratus pada Jun berbanding 1.67 peratus pada Mei.

    Hampir keseluruhan sektor mencatatkan kenaikan di dalam nisbah pinjaman tidak berbayar diterajui sektor perlombongan dan kuari yang meningkat kepada 5.93 peratus pada Julai berbanding 5.72 peratus pada bulan sebelumnya.

    “Walau bagaimanapun, kedudukan kewangan institusi perbankan masih berada pada tahap sihat yang mana nisbah kecukupan modal kekal tinggi iaitu 17.5 peratus berbanding kadar minimum yang ditetapkan iaitu 8 peratus,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bank Bakal Ketat Kelulusan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top