My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 19 July 2018

    10 Peratus Pasti beri Impak Pada Harga



    Harga kereta bagi kebanyakan model dijangka meningkat dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA). 

    Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, pengenalan semula SST sebanyak 10 peratus sudah pasti memberi impak kepada harga jika dibandingkan dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sebelum ini dikenakan pada kadar enam peratus.

    Beliau berkata, ketika GST mula diperkenalkan pada kadar enam peratus, harga kereta adalah rendah berbanding sebelumnya. “Berdasarkan simulasi yang dibuat ahli kami, akan terdapat kenaikan harga, tetapi berbeza mengikut model kereta,” katanya. Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada harga kereta akan meningkat dengan pengenalan semula SST pada kadar 10 peratus di sini, semalam.

    Aishah berkata, MAA masih menunggu butiran lanjut teknikal yang lebih jelas mengenai pelaksanaan semula SST sama ada ia sama seperti dilaksanakan sebelum ini bagi menetapkan harga kereta.

    Sementara itu, jumlah jualan kenderaan meningkat 50.1 peratus kepada 64,502 unit pada Jun 2018 berbanding 42,983 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, dipacu peningkatan permintaan berikutan pengurangan harga kereta dengan pelaksanaan kadar sifar GST.

    Jumlah jualan yang dicatatkan itu adalah yang tertinggi dalam tempoh Januari hingga Jun 2018 dan ia adalah satu-satunya tempoh jumlah jualan kenderaan melebihi 60,000 unit.

    Aishah berkata, promosi hari raya dan tawaran menarik oleh ahli MAA juga menyumbang kepada peningkatan jualan kenderaan pada bulan lalu. Beliau berkata, dalam tempoh enam bulan 2018, jualan kenderaan baru meningkat 1.8 peratus kepada 289,714 unit berbanding 284,453 unit yang dicatatkan tempoh sama 2017.

    Peningkatan itu, katanya, disumbangkan segmen kenderaan penumpang yang meningkat 2.1 peratus kepada 261,043 unit sementara segmen kenderaan komersial mencatatkan penurunan 0.1 peratus kepada 28,671 unit.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 10 Peratus Pasti beri Impak Pada Harga Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top