PELAKON Soffi Jikan dan pendatang baharu, Aprena Manrose bakal bergandingan dalam filem komedi seram berjudul Jodoh Syaitan terbitan sulung DA Motion Media.
Penerbitnya, Mokharul Shamsul Mokhtar atau Asey ketika ditemui di LakePark Residence, Kuala Lumpur memberitahu, syarikatnya memilih filem genre komedi seram kerana berdasarkan pemerhatian terhadap corak filem kegemaran penonton. “Penglibatan saya dalam industri perfileman bukan sehari dua, sudah lama.
Jadi sudah tiba masanya, untuk saya menerbitkan filem sendiri,” katanya. Menurut Mokharul, biarpun pasaran di negara ini tidak menentu, itu bukan halangan untuknya menghasilkan filem komedi seram.
“Dengan cara ini juga saya dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakan-rakan kru dalam industri. Kalau filem ini balik modal pun, saya sudah cukup gembira,” ujarnya yang mendedahkan kos pembikinan filem terbabit berjumlah bawah RM1 juta.
Diminta mengulas tentang pemilihan Soffi sebagai hero filem, Mokharul tidak melihat kontroversi yang melanda aktor itu sebagai halangan untuk menawarkan watak tersebut kepadanya. “Saya memang berminat untuk mengambil Soffi berlakon sebab saya suka kualiti kerjanya yang bagus. Hal-hal peribadi belakang kira, itu kita tidak campur.
“Sebenarnya bekerja dengan Soffi senang sebab dia jenis yang kalau kita hormat, dia akan 10 kali lebih hormat kepada kita. Soffi juga seorang pelakon yang boleh bawa pelbagai karakter sebab itu saya berani ambil dia. Kalau sebelum ini kita sering tengok dia dalam filem-filem aksi, sesekali kita tengok pula macam mana dia bawa seorang lelaki romantik,” katanya lagi.
Jodoh Syaitan menjalani penggambaran bermula hari ini (18 Julai 2018) di sekitar Pasir Puteh, Kelantan dan Jertih, Terengganu. Filem komedi seram ini turut dibintangi oleh Abam Bocey, Jay Iswazir, Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi serta Ismail Bob Hashim selaku pengarah.
0 comments:
Post a Comment