Hanya berbaki kurang dari 72 jam sahaja lagi Hari Penamaan Calon untuk Pilihan Raya Kecil N049 Sungai Kandis akan berlangsung. Ketika ini, hanya PKR yang hari ini membentuk kerajaan dan UMNO sahaja yang dikhabarkan sah bakal meletakkan calon mereka di kerusi ini. Bagi PAS pula dikhabarkan, mereka tidak akan meletakkan calon sekiranya UMNO bertanding di kerusi ini.
Perkembangan ini memang agak menarik kerana sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, walaupun pada ketika itu hangat diperkatakan hubungan baik antara PAS dan UMNO sudah mula terjalin, PAS masih meletakkan calon mereka di semua 160 kerusi Parlimen yang mana hampir kesemuanya ditandingi oleh UMNO.
Melihat kepada Pilihan Raya kali ini, ianya bolehlah dianggap sebagai era baru UMNO bertanding secara bersendirian tanpa ada sebarang sokongan dari parti komponen yang lain di dalam Barisan Nasional. Semuanya gara-gara tumbangnya Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang menyaksikan satu persatu parti komponen meninggalkan Barisan Nasional.
Dalam hal ini, memang UMNO ada sedikit terkesan dengan tindakan parti-parti komponen meninggalkan BN setelah sekian lama bersama. Namun, seperti yang diperkatakan ramai, hidup mesti diteruskan dan hari ini, setelah UMNO selesai mengadakan Pemilihan Agung UMNO, hujung Jun lalu, UMNO dilihat sudah mampu untuk berdiri semula dan kali ini berdiri secara bersendirian.
Secara amnya, kerusi ini secara majoritinya adalah terdiri dari kaum Melayu dan sudah semestinya, UMNO akan meletakkan calonnya untuk bertanding di kerusi ini. Mungkin pada awalnya ramai yang tertunggu-tunggu samada BN kali akan menggunakan logo BN ataupun UMNO. Namun, menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, biarlah kali ini, UMNO tampil dengan logonya sendiri dan tidak lagi menggunakan logo BN seperti kebiasaannya.
Persoalannya, adakah mampu untuk UMNO menembusi kerusi yang secara tradisinya dimenangi oleh PKR? Melihat kepada majoriti yang dimenangi oleh bekas penyandang kerusi ini, mungkin harapan untuk memenangi kerusi ini agak tipis. Ini kerana, majoriti 22,800 undi ini cukup besar jurangnya untuk diatasi.
Namun, apa sahaja mungkin berlaku di dalam politik. Hari ini, mandat yang diberikan kepada Pakatan Harapan untuk menerajui negara dan memenuhi apa jua janji yang mereka ungkapkan semasa tempoh berkempen pada PRU ke 14 yang lalu, hampir kesemuanya di mungkiri.
Mereka lebih berminat untuk menyiasat kes-kes mega sehinggakan permasalahan rakyat termasuk keperluan dan kehendak rakyat yang memberi mandat kepada mereka juga tidak lagi menjadi keutamaan buat Pakatan Harapan.
Bukan satu rahsia lagi bahawa rakyat hari ini benar-benar tertekan dengan pelbagai dasar yang langsung tidak menguntungkan rakyat. Malah, rakyat semakin pening dengan peningkatan harga barang yang seperti langsung tidak mampu disekat. Kerajaan yang diberi mandat pula seolah-olah memandang mudah penderitaan rakyat sepanjang 70 hari mereka berkuasa.
Lebih teruk lagi, 10 janji dalam tempoh 100 hari juga langsung mereka enggan penuhi. Terbaru, mereka mahu melaksanakan SST bagi menggantikan GST yang kadarnya jauh lebih tinggi berbanding GST. Adakah ini lambang sebuah kerajaan yang menyanjungi rakyatnya yang telah memberikan mandat dan kuasa untuk memerintah?
Benar, PRK N049 Sungai Kandis ini hanyalah satu Pilihan Raya Kecil yang tidak mungkin mampu mengubah landskap politik negara. Namun, menerusi Pilihan Raya Kecil N049 Sungai Kandis inilah boleh menjadi wadah dan pemberontakan rakyat terhadap kepelbagaian dasar yang dibuat oleh kerajaan hari ini yang dilihat cukup menekan rakyat.
Menerusi Pilihan Raya Kecil N049 Sungai Kandis inilah menjadi wadah pertama buat UMNO bangkit sebagai sebuah parti pembangkang berwibawa yang boleh disandarkan harapan untuk memperjuangkan hak rakyat di DUN Selangor.
Juga menerusi Pilihan Raya Kecil N049 Sungai Kandis ini jugalah menjadi lambang kepada kekuatan suara rakyat dalam menyuarakan keinginan mereka untuk didengari oleh pemimpin atasan. Tidak ada gunanya memberikan kuasa kepada pihak yang hanya mahu menikmati kuasa tanpa mahu berfikir berkhidmat kepada rakyat secara total.
0 comments:
Post a Comment