Usia kerajaan Pakatan Harapan baru mencecah 51 hari namun pada usia begini, kerajaan dikejutkan dengan berita ADUN Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) di Subang Jaya, 2 Julai lalu. Beliau meninggal dunia akibat kanser limfoma.
Untuk rekod, beliau merupakan bekas Setiausaha Politik bagi bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan Allahyarham juga baru saja dipilih semula menjadi wakil rakyat kawasan itu (sebelum ini dikenali sebagai Seri Muda) bagi penggal ketiga atas tiket PKR. Sehubungan dengan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim telah memaklumkan kekosongan kerusi berkenaan bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil DUN berkenaan diadakan.
Bercerita tentang DUN N49 Sungai Kandis ini, dahulunya dikenali sebagai DUN Seri Muda sebelum namanya ditukar kepada Sungai Kandis berikutan persempadanan semula yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu.
Pda Pilihan Raya Umum yang lalu, Allahyarham berjaya memenangi kerusi ini dengan memperolehi 23,998 undi dengan menewaskan tiga lagi lawannya iaitu Kamaruzzaman Johari (BN) yang memperolehi 11,518 undi, Mohd Yusof Abdullah (PAS) 7,573 undi dan Hanafiah Husin (PRM) yang hanya memperolehi 76 undi. Ini menjadikan Allahyarham memperolehi majoriti 12,480 undi.
Melihat kepada jumlah majoriti yang diperolehi Allahyarham, benar, DUN yang mempunyai 50,800 orang pengundi berdaftar ini mungkin kubu kuat buat PKR. Tambahan pula, PKR telah berjaya mempertahankan kerusi ini untuk tiga penggal. Namun, adakah sejarah sebelum ini boleh dijadikan petunjuk semasa terhadap perkembangan semasa hari ini?
Umum sedia maklum bahawa PKR kini merupakan parti utama yang menjadi teraju kerajaan hari ini. Namun disebalik semua itu, PKR bukanlah ketua dari segenap aspek kerana lambang dan nama PKR sendiri hanya digunakan oleh Tun Dr Mahathir yang mengetuai PPBM sebagai parti yang memboolehkan beliau mendapat kuasa selaku Perdana Menteri.
Hanya jawatan Timbalan Perdana Menteri sahaja yang diperuntukkan untuk PKR dalam liga kuasa 4 buah parti utama di dalam Pakatan Harapan ini. Lebih mengharukan, Ketua Umum PKR dan Pakatan Harapan sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang tercari-cari kerusi yang bakal beliau tandingi untuk membolehkannya menjadi Ahli Parlimen yang mana sekarang, beliau seperti ahli politik tidak mempunyai apa-apa kerusi.
Ini situasi jelas, apa yang berlaku di dalam PKR. Namanya mungkin dominan namun hakikatnya, parti dominan ini terpaksa merelakan kuasa dominan mereka ditundukkan oleh parti kerdil PPBM.
Satu lagi situasi yang menarik untuk disaksikan adalah, Pilihan Raya Kecil yang dijangka bakal dilangsungkan pada 4 Ogos ini juga bakal menyaksikan, adakah 50,800 orang pengundi berdaftar di DUN N49 Sungai Kandis ini sudah mampu berpijak di dunia realiti apabila melihat kemampuan kerajaan Pakatan Harapan yang mereka sendiri pilih pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu.
Secara amnya, pada 8 Mac lalu, Pakatan Harapan telah mengeluarkan manifesto yang antara lain menitik beratkan 10 janji dalam tempoh 100 hari seandainya mereka berkuasa. Antara 10 janji berkenaan adalah memansuhkan PTPTN, menurunkan harga barang, memansuhkan terus GST dan beberapa janji lain yang mendorong rakyat Malaysia memberi mandat kepada mereka.
Hari ini, setelah 63 hari berlalu, hanya satu sahaja janji yang kerajaan Pakatan Harapan laksanakan iaitu menyiasat skandal besar yang melibatkan 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri. Selebihnya langsung tidak diberi perhatian termasuk menangani masalah kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan di pasaran.
Rungutan demi rungutan sudah kedengaran apabila kerajaan hari ini langsung tidak mengendahkan masalah rakyat yang semakin terbeban dengan kenaikan harga barang dan sekaligus memberi tekanan tambahan terhadap kuasa membeli rakyat.
Dalam hal ini, adakah warga DUN N49 Sungai Kandis sudah sedar akan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan menangani masalah ini? Adakah warga DUN N49 Sungai Kandis merelakan diri mereka dipermainkan dengan janji yang langsung tidak dipenuhi? Paling utama, adakah kali ini warga DUN N49 Sungai Kandis bersedia menghukum Pakatan Harapan atas kemungkiran janji yang telah mereka lakukan?
Semuanya akan mula terjawab sebaik sahaja Hari Penamaan Calon dan tempoh berkempen bermula dan akan terjawab sepenuhnya sebaik sahaja tirai pengundian ditutup pada 4 Ogos ini. Mungkin ada yang merasakan ini adalah kubu kuat PKR, namun perlu juga diingatkan, warga DUN N49 Sungai Kandis juga turut terkesan dengan kenaikan harga barang hari ini dan mereka juga manusia biasa.
0 comments:
Post a Comment