POLIS Sarawak menumpaskan kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi menggunakan laluan tikus di ladang sawit di Kampung Mongkos, Serian, kelmarin.
Serbuan 10.30 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching hasil risikan dan maklumat awam. Hasilnya, polis berjaya merampas 19 tong gas, 48 kotak makanan sejuk beku, empat kotak minuman keras dan peralatan elektronik yang dianggarkan bernilai RM45,300, dipercayai cuba diseludup ke wilayah berjiran.
Selain itu, 15 lelaki Indonesia masing-masing berusia antara 20-an hingga 40-an bersama motosikal yang ditugaskan menjadi ‘pengangkut’ barang seludup turut ditahan ketika sedang dalam perjalanan menyeludup barang keluar dari Malaysia.
Pegawai Pemerintah, Superintendan Rosdi Inai berkata, hasil risikan mendapati laluan ladang kelapa sawit berkenaan menjadi pilihan penyeludup kerana lokasinya paling hampir dengan Kalimantan Barat. Menurutnya, penyeludup kebanyakannya menyeludup barangan bersubsidi seperti tong gas.
“Suspek dipercayai diupah individu tertentu di negara mereka untuk menyeludup keluar barang dari Malaysia. Polis juga tidak menolak kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab di kawasan sempadan negara yang bersekongkol menyediakan bekalan untuk diseludup,” katanya di Serian, hari ini.
Rosdi berkata, kesemua suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Tebedu, dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
0 comments:
Post a Comment