My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 18 July 2018

    Pemandu Van Dituduh Sebar Maklumat Palsu Di Facebook



    Seorang pemandu van tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menyebarkan maklumat palsu pada 10 dan 11 Julai lalu. 

    Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Shaiful Adhar Mohd. Shukor, 30, dituduh memuat naik status maklumat palsu melalui akaun Facebook miliknya pada 10 Julai lalu dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

    Menurut kertas pertuduhan, Mohd. Shaiful dituduh memuat naik status palsu mengenai seorang pemandu lori tempatan berada dalam keadaan kritikal selepas dipukul beramai-ramai oleh pekerja asing warganegara China di Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) di sini.

    Pertuduhan kedua pula, Mohd. Shaiful dituduh berniat menyakiti hati atau mengganggu orang lain melalui akaun Facebook sama pada 11 Julai dengan memuat naik status palsu mengenai seorang pekerja warga China di MCKIP telah mati ditetak berkaitan kejadian pertama.

    Kedua-dua pertuduhan dibuat ke atas tertuduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pertuduhan dibuat berhubung rentetan pergaduhan sekumpulan 50 hingga 60 lelaki tempatan dengan pekerja warganegara China di MCKIP yang dilaporkan akhbar pada minggu lalu. Penyebaran maklumat palsu tersebut menyebabkan sekumpulan rakyat tempatan bersenjatakan kayu dan batang besi bertindak menyerang kilang berkenaan pada 11 Julai lalu.

    Pergaduhan pada pukul 10 malam tersebut mengakibatkan seorang daripada empat pekerja warganegara China yang diserang mengalami kecederaan patah kaki kiri dan dirawat di sebuah hospital swasta di sini.

    Selepas pertuduhan dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah memohon ikat jamin RM16,000 bagi kedua-dua tuduhan sebelum tertuduh memohon pengurangan nilai jaminan. Sejurus mendengar rayuan tertuduh, Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan 20 Ogos sebagai tarikh sebutan semula.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pemandu Van Dituduh Sebar Maklumat Palsu Di Facebook Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top