Kehadiran seluruh anggota keluarga di Kuala Lumpur memberikan legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao kekuatan dan keyakinan apabila bertarung menentang juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) Lucas Matthysse hujung minggu ini.
Senator Filipina itu akan berusaha merampas gelaran daripada peninju profesional Argentina tersebut yang akan mempertahankan kejuaraan berkenaan pada pertarungan yang dinanti-nantikan di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil, Ahad ini.
"Saya gembira dapat bertemu peminat di sini, namun perkara lebih penting keluarga saya berada di Malaysia untuk memberi sokongan kepada saya.
"Ia juga memberi kelebihan kepada saya dengan kehadiran lebih ramai penonton menyaksikan pertarungan itu, tetapi saya tidak akan mengambil mudah. Saya harus memastikan saya memberi tumpuan 100 peratus dan melakukan yang terbaik," katanya.
Pacquiao mengakui bahawa beliau adalah individu yang berfikiran positif dan sentiasa mahukan kemenangan dalam setiap pertarungan, dan perkataan 'kalah' tidak pernah terlintas dalam mindanya.
Pacquiao yang juga dikenali sebagai 'Pacman', 39, merupakan satu-satunya juara dunia bagi kesemua lapan divisyen dengan mencatat 59 kemenangan (38 knock-out), tujuh kekalahan dan dua seri dalam kariernya.
Sementara itu, Matthysse berkata beliau semakin merasakan seperti berada di 'kampung halamannya' apabila berada di Kuala Lumpur sejak tiba dari Amerika Syarikat pada Khamis lepas.
"Hanya beberapa hari lagi sebelum pertarungan itu. Saya berasa tenang, dalam keadaan baik dan bersedia dengan cabaran itu. Saya sudah dapat menyesuaikan diri dengan masa di sini, selain menjalani latihan dan rehat yang baik..segalanya berjalan lancar. Saya sudah mempersiapkan diri untuk pertarungan ini dan yakin 100 peratus dapat mengekalkan kejuaraan," katanya.
Peninju berusia 35 tahun itu dikenali sebagai 'The Machine' kerana pukulan kencangnya, dan sudah meraih 39 kemenangan (36 knock-out) berbanding empat kekalahan. Matthysse memenangi kejuaraan tersebut pada Januari lepas, setelah menumbangkan peninju Thailand Tewa Kiram.
0 comments:
Post a Comment