My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 10 July 2018

    Direka Khas Galam Gaya 'Art Deco'



    Taj Mahal di India, Angkor Wat di Kemboja dan Menara London antara lokasi tarikan jutaan pengunjung serata dunia yang mencintai sejarah. Meskipun usia bangunan mencecah ratusan mahupun ribuan tahun, struktur bangunan warisan itu cukup kukuh dan tetap tampak menarik setiap kali pengunjung mengabadikannya menerusi rakaman foto. 

    Tidak cukup dengan itu, bangunan warisan itu menjadi rujukan sebagai penceritaan tidak langsung berkenaan kehidupan masyarakat satu ketika dulu. Oleh itu, tidak hairanlah usaha pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan berkenaan menjadi agenda utama dalam pembangunan seni bina warisan setiap negara.

    Ia antara usaha mengekalkan ciri asal bangunan warisan berkenaan khazanahnya supaya kekal sepanjang zaman. Begitu juga dengan Masjid Diraja Sultan Suleiman yang mendapat jolokan ‘permata di atas mahkota’ iaitu masjid utama bandar Klang ketika ini dan pernah menjadi masjid negeri Selangor satu ketika dulu.

    Diwartakan sebagai warisan kebangsaan oleh Badan Warisan Negara pada 2012 berdasarkan ciri-ciri seni bina asalnya yang masih kukuh serta kepentingan sejarah dan budaya sejak ianya siap dibina pada tahun 1933. Ia dirasmikan oleh Sultan Selangor yang memerintah ketika itu, Sultan Alaeddin Suleiman Shah pada 22 Jun 1933.

    Menurut Pembantu Konservator Badan Warisan Heritage Services Mariana Isa, projek bangunan masjid berkenaan dipantau sendiri oleh Sultan Alaeddin seawal pemilihan lokasi hinggalah kepada pembinaan termasuk perincian reka bentuk masjid.

    “Petikan pewartaan jelas menyatakan Masjid Diraja Sultan Suleiman mempunyai nilai warisan budaya sebagai masjid negeri yang direka khas dalam gaya ‘art deco.’

    Ciri-ciri unggul perwatakan masjid ini termasuk dinding luaran kemasan ‘bush hammered concrete,’ kubah yang elegan, menara setinggi 135 kaki, keindahan mural ‘bas-relief’ berwarna-warni, penggunaan kaca berwarna dan reka bentuk pagar serta pintu besi tempa.

    “Dirujuk berkenaan sejarah pembinaannya Sultan Alaeddin sendiri menerima laporan perkembangan reka bentuk secara langsung daripada jurubina masjid ini, Leofric Kesteven yang berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya Selangor. Beberapa butiran reka bentuk seperti mimbar dan surah-surah yang dipamerkan pada panel marmar di anjung utama ialah cetusan Sultan Alaeddin sendiri.

    “Jurutera bangunan ini, John Thomas Chester, berkhidmat dengan kontraktor projek iaitu United Engineers Ltd. Beliau juga seorang pakar struktur konkrit tetulang, teknologi yang dikira agak baru untuk zaman itu.

    “Bangunan ini ialah struktur konkrit yang terbesar di Semenanjung Malaya ketika ia siap dibina. Ciri-ciri yang dipaparkan pada masjid ini antara bukti menunjukkan perkembangan teknologi pembinaan konkrit yang digunakan pada zaman itu,” katanya.

    Malah arkitek serta jurutera terbabit ialah turut dikenali menerusi beberapa projek beberapa bangunan mercu tanda warisan di Tanah Melayu zaman itu termasuk pembinaan Jambatan Suleiman dan Bangunan Suleiman di Kuala Lumpur. Kerja pembinaan berlangsung selama 15 bulan itu menelan kos kira-kira $219, 468.71 (Straits Dollar) iaitu kira-kira RM887,745.20.

    Kata Mariana, pemuliharaan yang dilaksanakan bertujuan mengembalikan masjid berkenaan kepada rupa bentuknya yang asal, meliputi struktur luar, hiasan dalaman di samping penyediaan kemudahan moden untuk jemaah masjid.

    “Kerja pemuliharaan dijalankan secara menyeluruh terutama dalam kerja pembersihan permukaan dinding luaran dan pengembalian corak hiasan berwarna di bahagian dalam. Kaedah pembersihan dinding yang digunakan ialah ‘soda blasting’ iaitu penyemburan bahan khas ditembak pada permukaan bangunan untuk menyingkirkan kotoran dan benda asing termasuklah lapisan cat baru. 

    “Sebenarnya selepas 1933, masjid berkenaan pernah melalui beberapa fasa pengubahsuaian iaitu sekitar lewat 1960-an dan 1980-an iaitu penambahan bumbung baru di ruang laman asal yang kini digunakan sebagai ruang limpah. Apabila diteliti pada struktur kubah, terdapat perubahan dari segi warna dan kemasan kubah.

    “Seni bina asal bangunan masih ketara dan utuh termasuk perincian dalaman masjid. Reka bentuk kubah kaca berwarna di ruang solat utama umpamanya turut menjadi perhatian kami dan ia menjadi inspirasi untuk menonjolkan ruang terbabit menerusi pencahayaan tambahan.

    “Tidak lupa penemuan menarik ketika kerja pemuliharaan ialah penemuan semula struktur kolam wuduk asal air di Balai Wuduk. Melengkapkan keseluruhan kerja pemuliharaan, pagar besi tempa asal di sekeliling dan di dalam bangunan turut dibaiki dan dicat semula dengan warna asal,” katanya.

    Penambah lain dari segi kemudahan untuk pengunjung kurang upaya, penyediaan tempat mengambil wuduk khas untuk wanita dan penambahbaikan pencahayaan baru di dalam dan di luar bangunan turut dilakukan.

    Sebuah blok pentadbiran baru yang berasingan disediakan di dalam perkarangan masjid, lengkap dengan bilik mesyuarat untuk kemudahan pihak pentadbiran masjid. Projek pemuliharaan Masjid Diraja Sultan Suleiman dijalankan antara 2015 hingga 2017 adalah hasil kerjasama Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan Badan Warisan Negara.

    Badan Warisan Heritage Services ialah perunding konservasi kepada Linea Architect Sdn Bhd yang dilantik oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor.

    Di bawah program Kuala Lumpur Architecture Festival (KLAF), sebuah pameran berkenaan pemuliharaan Masjid Diraja Sultan Suleiman bakal dianjurkan di bangunan Pertubuhan Akitek Malaysia, 99L Jalan Tandok, Kuala Lumpur dari 20 Ogos sehingga 8 September 2018.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Direka Khas Galam Gaya 'Art Deco' Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top