Anda sedang memegang telefon pintar di tangan namun pernahkah bertanya proses mengeluarkannya? Pusat Inovasi Huawei di Beijing, memperlihatkan bagaimana model telefon Nova dihasilkan.
Sudah pasti ada mengaitkan model Nova sebagai stigma produk elektronik dari China tidak berkualiti tinggi yang mungkin tidak akan hilang daripada pendapat rakyat negara ini. Persepsi itu seakan-akan sebati di naluri mereka berdasarkan pengalaman lalu. Apa saja produk yang bertulis ‘Made In China’ dianggap tidak mempunyai kualiti sempurna jika dibandingkan dengan barangan buatan negara lain.
Pendapat sedemikian tidak dianggap salah memandangkan pengalaman sebelum ini dengan produk China yang tidak setanding dan tidak mampu bertahan lama. Cuma harga yang murah menjadi taruhan pembeli.
Terdapat hampir lima makmal ujian yang menyelidik keberkesanan pembangunan telefon pintar Huawei terutama Nova di pusat ini. Tidak dapat dijelaskan fungsi setiap makmal secara terperinci kerana banyak perkara tidak boleh didedahkan kepada umum, namun secara amnya ia mempunyai kelengkapan cukup untuk menguji telefon sebelum dipasarkan.
Terdapat makmal yang menguji telefon menerusi tiga ujian merangkumi ketahanan fon, ketahanan suhu dan kelembapan serta sistem haba. Ketiga-tiga ujian terbabit menentukan ketahanan kepada suhu sehingga 60 darjah selsius, kecukupan untuk bertahan di bawah paras beku bagi memastikan ia sesuai digunakan untuk persekitaran pengguna di seluruh dunia.
Di samping itu, Huawei turut mempunyai makmal akustik yang mengesan tahap bunyi Huawei bersesuaian dengan penerimaan telinga manusia bagi memelihara kesihatan deria terbabit selain ujian terhadap isyarat telefon. Sensitiviti penerimaan bunyi dikesan menurut ukuran tenaga bunyi menerusi desibel (dBA) yang ditetapkan dunia.
Kemudahan makmal di Beijing ini memainkan peranan penting dalam proses menghasilkan model Nova apabila mengenakan proses ketat sebelum ia menjadi hak milik pengguna. Menerusi konsep jaminan pengguna yang ditawarkan, kilang terbabit mewujudkan simulasi bagi memastikan segalanya berjalan lancar.
Dalam pada itu, Naib Presiden Perniagaan Telefon Pintar Huawei Fang Fei mengulas mengenai operasi syarikat yang mematenkan teknologinya dalam usaha menguasai pasaran telefon pintar di Asia Pasifik termasuk Malaysia. Fei berkata, sehingga kini syarikatnya mematenkan 2,398 teknologi pada 2017 saja kepada Kesatuan Eropah (EU).
“Ia bagi memastikan teknologi terutama membabitkan telefon pintar kami mampu berkembang jauh pada masa depan,” katanya.
Selain itu, Fei turut berkata syarikatnya membelanjakan sejumlah RM54 bilion untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). “Ia sekali gus meletakkan Huawei sebagai syarikat keenam tertinggi di dunia dalam perbelanjaan R&D. Bukan itu, kami mempunyai perbelanjaan R&D lebih tinggi berbanding Apple,” katanya.
Beliau percaya, Huawei mampu menguasai pasaran telekomunikasi dalam pada masa depan. Sehingga kini, Huawei mempunyai 14 R&D dan 36 Pusat Inovasi Bersama di seluruh dunia yang mana salah satunya di Beijing.
“Di Beijing, kami mempunyai makmal bertaraf dunia yang mana prosesnya sangat kompleks, keupayaan penyelidikan dibangunkan berdasarkan industri kukuh,” katanya.
0 comments:
Post a Comment