PELAKON dan penyanyi, Zara Zya mendedahkan dia belum ada perancangan menamatkan zaman solo bersama kekasihnya juga pelakon Hafreez Adam dalam masa terdekat. Zara, 33, juga meminta orang ramai tidak terlalu mengharap lebih meskipun hubungan keduanya direstui disebabkan dia sendiri tidak tahu apa bakal terjadi pada masa hadapan.
“Setakat ini apa yang saya boleh cakap adalah kami pun orang biasa juga. Kami sendiri tidak boleh menjangka apa boleh berlaku selepas ini. Dia sudah jumpa keluarga saya dan begitu juga saya sudah berjumpa dengan ibunya. Segala-galanya baik-baik saja namun saya akui untuk kena juga menjalin hubungan yang baik dengan seisi keluarganya.
“Sebarang perbincangan pun belum dibuat disebabkan kami sendiri masing-masing sibuk dengan kerjaya. Apapun, doakan saja yang terbaik,” katanya.
Zara mengakui selepas lama tidak bercinta, Hafreez disifatkannya sebagai lelaki yang sangat memahami dan matang. “Dia mungkin muda daripada saya namun setakat ini kami memang sangat selesa bersama. Hafreez adalah lelaki yang membuatkan saya rasa selamat dan yakin.
“Saya pernah merasai bercinta dengan lelaki yang macam-macam perangai. Tapi dengannya sangat senang bersama disebabkan kami saling memahami selain perangai pun lebih kurang gila-gila,” katanya.
Dilabel antara pasangan selebriti paling manis sekarang, Zara mengakui dia mahu hubungan mereka jadi indah. Bahkan dia sanggup melakukan sesuatu untuk diingati bersama termasuklah menyarung maskot beruang baru-baru ini.
Menurutnya, dia berusaha mencari idea menerusi Google untuk melakukan kejutan ulang tahun buat Hafreez berkenaan. “Saya sanggup Google untuk idea paling manis membuat kejutan buatnya bahkan bertanya kepada kawan-kawan di mana saya boleh sewa maskot itu. Saya cuma mahu tinggalkan kenangan indah untuk diingatinya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment