Lebih satu bilion orang berdepan risiko kekurangan alat penyaman udara dan peti sejuk untuk menyejukkan badan mereka dan menyimpan makanan serta ubat ketika lebih banyak suhu tinggi direkodkan akibat pemanasan global, kata satu kajian semalam.
Permintaan tenaga elektrik untuk peti sejuk, kipas angin dan peralatan lain juga meningkat dan akan memburukkan lagi impak perubahan iklim melainkan sumber bahan api fosil diganti dengan tenaga lebih bersih, demikian menurut laporan agensi Sustainable Energy for All (SEforALL).
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu berkata, kira-kira 1.1 bilion orang di Asia, Afrika dan Amerika Latin atau merangkumi 470 juta penduduk di kawasan pedalaman dan 630 juta warga setinggan bandar, merupakan antara yang terjejas akibat kekurangan penyaman udara dan peti sejuk.
“Fungsi penyejukan menjadi lebih penting ekoran perubahan iklim,” kata ketua SEforALL, Rachel Kyte kepada agensi berita Reuters.
Dalam kaji selidik melibatkan 52 negara itu, negara yang paling berisiko ialah India, China, Mozambique, Sudan, Nigeria, Brazil, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh, kata SEforALL. “Kita perlu menyediakan penyejukan dengan cara yang amat efisien,” kata Kyte lagi.
Menurutnya, syarikat-syarikat dapat mencari pasaran besar dengan mengeluarkan alat penyaman udara murah dan efisien untuk dijual kepada golongan sederhana yang semakin meningkat di negara-negara tropika.
Katanya lagi, penyelesaian lebih mudah seperti mengecat bumbung dengan warna putih untuk memantulkan pancaran matahari atau mereka semula bangunan supaya dapat membebaskan haba juga membantu.
Menurut SEforALL, haba akibat pemanasan global dijangka menyebabkan 38,000 kematian tambahan di seluruh dunia setiap tahun antara tahun 2030 hingga 2050.
0 comments:
Post a Comment