Tidak dinafikan, setelah tewasnya UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, banyak tindakan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan hari ini dilihat cuba menekan UMNO seolah-olah cuba untuk di hapuskan terus dari peta politik negara. Memang cukup luar biasa cara kerajaan hari ini melayan musuh politiknya.
Manakan tidak, sebaik merampas tampuk pemerintahan, tindakan pertama yang dilakukan adalah cuba mengaibkan sehabis daya bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan mengaitkan beliau dengan pelbagai tuduhan. Beberapa kali kediaman peribadi beliau diserbu dan banyak barang dirampas termasuklah wang milik UMNO.
Terbaru semalam, untuk kali pertama sejak lebih 60 hari yang lalu, akhirnya UMNO bangkit melawan. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO dan ditandatangani oleh Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Unit Undang-Undang Ibu Pejabat UMNO semalam, UMNO telah mula mengambil tindakan perundangan terhadap rampasan yang dibuat terhadap dana milik parti ini bulan lalu.
Dalam kenyataan berkenaan, UMNO telah melantik Tetuan Scivetti & Associates bersama sepasukan peguam di mana Datuk Hariharan Tara Singh sebagai peguam utama untuk mewakili UMNO dalam membuat tuntutan dana politik yang dianggarkan berjumlah RM 116.7 juta milik UMNO yang telah disita oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Menurut kenyataan berkenaan, Pasukan Peguam Ibu Pejabat UMNO sedang meneliti segala isu perundangan berkaitan dengan tuntutan dana politik berkenaan. Pasukan itu juga sedang mempertimbangkan antara lain tentang prosedur, kaedah dan cadangan tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh UMNO terhadap pihak-pihak yang berkaitan dalam menuntut semua dana berkenaan.
Pasukan itu juga, menurut kenyataan yang sama juga akan membuat tuntutan dan permohonan yang sewajarnya kepada agensi penguatkuasaan yang terlibat khususnya pihak PDRM untuk mendapatkan dan membekalkan segala maklumat yang diperlukan untuk melicinkan prosiding tuntutan ini.
Dalam kenyataan yang sama, Ibu Pejabat UMNO berharap supaya tidak ada mana-manapihak cuba atau sengaja mencetuskan spekulasi yang tidak sewajarnya terhadap tindakan terbaru dari UMNO ini.
Nampaknya, jika diteliti dari kenyataan ini, sudah tiba masanya UMNO bertindak kembali setelah pelbagai tekanan dan prosedur siasatan yang dianggap sengaja untuk melemah dan seterusnya menghancurkan UMNO hanya disebabkan menyanjung tinggi sifat dendam politik yang tidak berkesudahan.
Bagi pemerhati, tindakan UMNO ini dilihat kena pada masanya kerana UMNO sudah cukup lama bersabar dengan pelbagai tindakan yang adakalanya dianggap seperti tidak wajar dan biadab terhadap parti utama orang Melayu ini.
Sudah tiba masanya, UMNO kembali bangkit dari kekecewaan dan menebus semula maruah parti ini setelah begitu teruk dihina oleh Pakatan Harapan dan para penyokongnya. Apa yang diiharapkan, segala prosiding ini dapat dilangsungkan dengan pennuh berhemah dan penuh intergiriti tanpa mengangkat tinggi ego dan dendam segelintir pihak terhadap UMNO.
0 comments:
Post a Comment