My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 13 July 2018

    1MDB : Dari Kisah Pelaburan Kepada Lubuk Kisah Penipuan Dan Dongeng



    Apabila menyebut tentang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), majoriti pemikiran rakyat Malaysia akan mengaitkan pelbagai fitnah dan tuduhan yang dilemparkan oleh kerajaan Pakatan Harapan terhadap syarikat pelaburan berkenaan. Malah, menerusi fitnah inilah Pakatan Harapan memperolehi mandat untuk membentuk kerajaan setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke 14.

    Sebaik sahaja membentuk kerajaan, antara langkah pertama yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan adalah cuba mendedahkan pelbagai skandal yang kononnya berlaku di dalam syarikat berkenaan. Malah, Datuk Seri Mohd Najib selaku Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB menjadi sasaran utama Pakatan Harapan untuk diheret ke mahkamah atas pelbagai tuduhan yang sehingga kini gagal di buktikan.

    Mungkin, pada awalnya, ramai rakyat Malaysia terpengaruh dengan dakyah dan penipuan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan. Manakan tidak, sejak 2013 lagi, pakatan ini telah mengadakan pelbagai cerita negatif tentang 1MDB. Malah, mereka dilihat begitu konsisten menuduh Datuk Seri Mohd Najib sebagai pencuri wang berkenaan.

    Sudah terlalu banyak penerangan khas apa yang berlaku di dalam 1MDB, namun semua penerangan berkenaan disambut dingin. Apa yang melucukan adalah, pihak berkuasa yang menyiasat skandal 1MDB ini langsung tidak mengikut SoP yang sepatutnya dalam menyiasat sesuatu kes. Mereka langsung tidak pergi ke pejabat 1MDB untuk mengambil penyata kewangan mahupun minit mesyuarat syarikat.

    Sebaliknya, mereka lebih senang menyerbu rumah Datuk Seri Mohd Najib berulang-ulang kali sehinggalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengumumkan kononnya berjaya merampas barangan yang dikatakan milik 1MDB yang dianggarkan bernilai RM 900 juta hingga RM 1 bilion dalam deretan rampasan yang mereka lakukan.

    Disinilah semua kepincangan dan kisah penipuan kerajaan dan agensi yang diperkudakan oleh kerajaan terbongkar. Tidak lama selepas pengumuman ini, Datuk Seri Mohd Najib telah ditahan oleh Pasukan Penyiasat Khas 1MDB kononnya telah mempunyai bukti yang cukup.

    Menariknya, baik SPRM mahupun PDRM, mereka menafikan mengeluarkan arahan penangkapan berkenaan. Justeru, atas alasan dan arahan siapa penahanan berkenaan di lakukan? Lebih menimbulkan bahan lawak jenaka, semasa siasatan dan penahanan berkenaan di lakukan, Datuk Seri Syukri Abdull sendiri belum mengangkat sumpah sebagai Ketua Pengarah SPRM yang baru.

    Semasa perbicaraan, ketua pasukan pendakwaan sekali lagi menimbulkan bahan lawak jenaka apabila mengakui, kertas pertuduhan masih belum disiapkan. Malah, pihaknya juga masih belum mengumpul bukti yang cukup untuk mendakwa Datuk Seri Mohd Najib. Semuanya terbongkar apabila Tan Sri Shafie Abdullah selaku ketua pasukan peguam bela mendesak pihak pendakwaan menyerahkan salinan kertas pendakwaan terhadap pasukan pembelaan.

    Itu baru bab pertama terbongkarnya kisah penipuan dan pembohongan 1MDB. Kemudian, munculnya sekali lagi pengesahan rasmi dari Keluarga Di Raja Arab Saudi tentang derma yang mereka lakukan pada tahun 2012 sebanyak RM 2.6 bilion yang menjadi pokok isu pendakwaan terhadap Datuk Seri Mohd Najib.

    Tidak lama kemudian, sebuah syarikat pengeluar barangan kemas dari Lubnan secara tiba-tiba memfailkan saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansur atas kegagalan isteri bekas Perdana Menteri berkenaan memulangkan sejumlah barang kemas yang dirampas oleh pihak PDRM dalam siri serbuan di kediaman Datuk Seri Mohd Najib.

    Mungkin bagi kalangan para penyokong Pakatan Harapan, saman berkenaan menggambarkan betapa borosnya Datin Seri Rosmah berbelanja. Namun, jika kita lihat dalam konteks yang lebih besar, saman berkenaan membuktikan, semua barangan kemas yang dianggarkan mencecah angka RM 800 juta itu bukan hak milik Datin Seri Rosmah. Sebaliknya, ia adalah milik syarikat berkenaan yang gagal dipulangkan oleh Datin Seri Rosmah setelah kesemua barangan berkenaan dirampas secara tidak sah.

    Sekali lagi kuasa Allah S.W.T terserlah apabila secara tiba-tiba pasukan peguam dari Switzerland tiba di Kuala Lumpur untuk memulakan siasatan terhadap 6 individu yang terlibat dalam skandal 1MDB. Menariknya, dalam kenyataan media yang dikeluarkan Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber, mereka mengesahkan, Datuk Seri Mohd Najib bukan salah seorang dari 6 individu yang sedang disiasat.

    Kenyataan yang sama diulangi oleh Lauber hari ini setelah beliau mengadakan pertemuan dengan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas dan ketua Pasukan Penyiasat Khas 1MDB, Tan Sri Abdul Ghani Patail. Beliau menegaskan, Datuk Seri Mohd Najib bukanlah suspek mahupun individu yang mahu disiasat oleh pasukan peguam ini dan langsung tidak ada kaitan dengan kes 1MDB.

    Paling utama, disaat pelbagai tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap 1MDB, kerajaan telah bersetuju untuk melantik Datuk Asri Hamidun sebagai Pengerusi baru 1MDB. Apa perlunya melantik pengerusi baru sedangkan syarikat tersebut didakwa telah melakukan pelbagai kesalahan kewangan dan mempunyai begitu banyak skandal kewangan?

    Nah sekarang, segala tembelang penipuan yang kononnya berlaku di dalam 1MDB dan Datuk Seri Mohd Najib semakin tersingkap satu per satu. Bagi pengikut tegar Pakatan Harapan, mereka pasti akan menuduh semua itu adalah lakonan bagi menyelamatkan Datuk Seri Mohd Najib kerana mereka yakin, apa sahaja tindakan kerajaan itu betul.

    Tetapi bagi mereka yang memahami undang-undang dan mula menyedari penipuan yang sedang dijaja oleh kerajaan Pakatan Harapan, mereka akan mula melihat kebenaran yang sedang dibuka satu per satu. Kini, hanya masa menentukan segala penipuan berkenaan akan dibongkar dan akan diserlahkan kepada seluruh rakyat Malaysia.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 1MDB : Dari Kisah Pelaburan Kepada Lubuk Kisah Penipuan Dan Dongeng Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top