Rekaan lampu hiasan berbentuk sarang lebah yang dipamerkan di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini cukup unik dan tidak keterlaluan jika penulis katakan ia boleh dikomersialkan di pasaran.
Malah, reka bentuknya juga perlu diberi pujian kerana menonjolkan kreativiti dan ketelitian pereka dalam menghasilkannya.
Namun, siapa sangka, lampu hiasan lantai berkenaan sebenarnya dicipta penuntut semester akhir akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Logam Kontemporari, Azarul Izham Noor Azmi, 23, sempena Pameran Semester Akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Logam Kontemporari UITM Shah Alam.
Dinamakan ‘The Hex Core,’ hiasan lampu itu dibuat daripada kayu cengal dengan modal RM2,300 dan menurut Azarul, reka bentuknya mengambil inspirasi daripada sarang madu lebah kerana dia tertarik dengan keistimewaan habitat haiwan berkenaan.
Anak sulung daripada empat beradik ini berkata, kayu cengal dipilih sebagai bahan asas pembuatan kerana sifat semula jadinya yang kuat, tahan lasak dan tidak berisiko dimakan anai-anai. “Saya memilih mereka bentuk lampu hiasan lantai kerana yakin ia praktikal dan sesuai dijadikan bahan dekorasi terutama untuk ruang di dalam rumah.
“Dari tapak hingga ukiran lampu semuanya saya hasilkan sendiri namun bahagian paling sukar adalah mendapatkan bentuk heksagon dengan ukuran tepat. “Jika tidak fokus, kesilapan akan berlaku dan reka bentuk hiasan lampu berkenaan juga tidak sempurna seperti diinginkan,” katanya yang juga pengarah projek bagi pameran berkenaan.
Menurut Azarul, dia bersyukur kerana tidak keseorangan sebaliknya mendapat tunjuk ajar pensyarah dalam menyiapkan hiasan lampu berkenaan. Namun, Azarul berkata, dia tidak dapat lari daripada cabaran terutama dalam membahagikan masa dengan tugasan dan urusan seharian lain.
“Kebetulan, saya tinggal tidak jauh daripada kampus jadi ia memberi kelebihan untuk berulang-alik dari rumah. Namun, kebanyakan masa saya dihabiskan di studio dan ada ketikanya terpaksa bermalam di situ untuk menyiapkan hiasan lampu berkenaan.
“Syukurlah, ia dapat disiapkan pada waktu yang ditetapkan dan saya berterima kasih kepada pensyarah dan keluarga banyak memberi sokongan termasuk dari segi kewangan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment