LELAKI dipenjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini, kerana melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak perempuan, dua bulan lalu.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh berusia 61 tahun itu selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017. Ainul turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman bermula tarikh hukuman disabitkan dan menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan kelak.
“Ketika berada di bawah pengawasan polis, tertuduh harus melaporkan diri kepada Ketua Polis Daerah Kota Belud. Sekiranya gagal berbuat demikian, mana-mana anggota polis tanpa mengira pangkat dibenarkan menangkap tertuduh dan membawanya ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” hujahnya.
Mengikut keterangan kes, tertuduh didakwa menggunakan tangan melakukan serangan seksual terhadap mangsa yang berusia lapan tahun di sebuah rumah di daerah Kota Belud pada jam 12.40 tengah malam, 5 Mei lalu.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia perlu menyara ibu berusia 83 tahun dan adik orang kurang upaya (OKU). “Saya sayang ibu dan adik. (Ibu saya) sudah tua dan sakit. Saya juga mempunyai masalah kesihatan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Farrah Farriza Wan Ghazali dalam hujahnya meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam untuk mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh.
Katanya, tertuduh melakukan kesalahan terhadap mangsa yang terlalu muda dan menekankan pengakuan bersalahnya tidak boleh dipertimbangkan berikutan kesalahan yang dilakukan adalah serius.
Mengikut fakta kes, kejadian disedari bapa mangsa selepas terdengar jeritan dari bilik anak perempuannya itu sebelum segera memeriksa keadaan kanak-kanak itu dan melihat tertuduh melarikan diri melalui pintu dapur.
Mangsa kemudian memberitahu bapanya bahawa tertuduh memasukkan tangannya ke bahagian alat sulitnya sebelum dibawa membuat laporan polis. Tertuduh ditahan di rumah di daerah Kota Belud, kira-kira 3 petang, hari sama.
0 comments:
Post a Comment