BURUH layak digelar anak derhaka apabila tergamak mengugut mahu mencederakan bapanya menggunakan sebilah kapak dalam kejadian di Manir, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 6.30 petang, suspek, 42, turut merosakkan pelbagai barangan dalam rumah selain memaki hamun warga emas berusia 71 tahun itu. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa yang berada di rumah terkejut apabila anak lelakinya tiba-tiba mengamuk tanpa sebab.
Katanya, suspek bagai dirasuk bertindak merosakkan peralatan rumah seperti pintu dan kain langsir sambil turut memaki hamun warga emas terbabit. “Suspek turut mengugut mahu mencederakan mangsa menggunakan sebilah kapak sebelum meninggalkan rumah tidak lama kemudian.
“Mangsa memaklumkan suspek yang juga penagih dadah sering mengamuk selain selalu membawa kapak itu bersamanya. Susulan kejadian, mangsa yang tidak tahan dengan sikap panas baran suspek selain bimbang keselamatan diri dan keluarga mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Manir untuk untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian ditahan polis di sebuah rumah di sebuah kampung di Manir, pada jam 1.30 pagi tadi. Katanya, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
0 comments:
Post a Comment