My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 10 July 2018

    FGV Tekad Kekal Penguasaan



    FGV Holdings Bhd (FGV), pengendali ladang kelapa sawit ketiga terbesar dunia berusaha mengekalkan penguasaan pasarannya di China meskipun berdepan dengan harga yang sangat kompetitif. 

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, berkata penguasaan pasaran FGV di China pada masa ini adalah dalam lingkungan 20 peratus hingga 30 peratus.

    “Sekarang ini terdapat sedikit penurunan kerana harga sangat kompetitif namun kita masih berusaha untuk kekalkan penguasaan pasaran di China,” katanya pada media ketika majlis sambutan Riang Ria Raya FGV 2018 di Kuala Lumpur, semalam.

    Mengulas lanjut, beliau berkata lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China pada bulan depan juga diharap akan meningkatkan lagi perniagaan FGV di China. “FGV memang sedia mempunyai hubungan dengan China sebelum ini. Jadi, dengan lawatan Perdana Menteri itu akan memberikan langkah baik untuk syarikat.

    “Kami juga meletakkan harapan besar supaya hubungan dua hala antara Malaysia dan China dapat dipertingkatkan lagi terutama dalam perniagaan kelapa sawit,” katanya.

    Selain itu, katanya FGV belum lagi mengenal pasti impak daripada kemungkinan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria berkata, FGV kini sedang meneliti mana-mana portfolio pelaburan yang kurang memberi komitmen dalam syarikat bagi meningkatkan keupayaan operasi pada masa depan.

    “Kami sedang mengenal pasti beberapa masalah yang dihadapi dan ia merangkumi pelbagai aspek. Ada beberapa inisiatif yang sudah dijalankan namun keputusannya masih belum diperolehi. Semua segmen akan diteliti dan akan difikirkan. Kita lihat bagaimana...jika ia (portfolio pelaburan) didapati bermasalah dan tidak boleh dipulihkan, kita terpaksa memberhentikannya,” katanya.

    Mengulas sama ada pengurusan FGV akan berdepan sebarang rombakan semula, Zakaria memberitahu setakat ini tiada sebarang rombakan yang dibuat. “Kami masih bekerja seperti biasa, cuma cara kami bekerja sekarang ini sudah bertukar. Kami lebih agresif dan lebih fokus kepada perniagaan dalam semua sektor termasuk hiliran dan huluan,” katanya.

    Bermula 5 Julai lalu, FGV melaksanakan penjenamaan baharu dengan menukar nama daripada Felda Global Ventures Holdings Bhd kepada FGV Holdings.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: FGV Tekad Kekal Penguasaan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top