Perlu diakui bahawa cara berpolitik warga Sarawak dan Semenanjung memang jauh berbeza. Di Semananjung, kebiasaannya, rentak berpolitik lebih kepada kepartian dan pemimpin-pemimpin yang mereka yakini mampu untuk membawa kemahuan mereka ke peringkat tertinggi serta dapat memberikan apa yang mereka mahukan.
Berlainan pula di Sarawak. Bagi warga Sarawak, apa yang dipentingkan adalah hak dan permasalahan setempat ditangani oleh pemimpin anak kelahiran sesuatu kawasan itu sendiri. Mereka lebih menitik beratkan anak kelahiran Sarawak sendiri dalam menguruskan hal negeri dan sukar untuk menerima sebarang campur tangan luar terutama dari Semenanjung.
Di sinilah munculnya istilah Sarawak for Sarawakian yang satu ketika dahulu memperjuangkan hak pribumi rakyat Sarawak dalam segenap aspek termasuklah hal ehwal politik. Namun, disebabkan ada pihak yang memandang slogan ini sebagai satu slogan besar, maka wujudlah satu gerakan radikal yang mahu membawa Sarawak keluar dari Gagasan Malaysia atas alasan terdapat beberapa perkara yang dimanipulasikan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menariknya, slogan yang boleh dianggap sebagai menyatu padukan rakyat Sarawak ini pantas disalah gunakan oleh DAP dan PKR di Sarawak.Secara tiba-tiba mereka menjadikan istilah Sarawak for Sarawakian ini satu istilah besar untuk menolak sebarang campur tangan dari kerajaan pusat sebelum ini.
Hasilnya, semasa Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, buat pertama kalinya, Sarawak gagal menyumbang 25 kerusi yang sentiasa diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional dan untuk kali pertama dalam sejarah, Barisan Nasional tumbang. Ini boleh dianggap sebagai satu kejayaan besar buat parti pembangkang di Sarawak yang dikatakan berjaya memecah monopoli BN Sarawak di bumi Sarawak sendiri.
Melihat akan hal ini, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg bertindak membawa keluar 4 parti komponen BN iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) bermula 12 Jun yang lalu.
Pembentukan GPS ini dilihat cukup signifikan buat masa depan Sarawak sendiri kerana ianya dilihat lebih memfokuskan permasalahan dalaman Sarawak untuk diselesaikan sendiri oleh kerajaan negeri Sarawak tanpa ada banyak campur tangan luar. Persoalannya, kenapa pembentukan GPS ini dijadikan modal politik oleh pembangkang di Sarawak dan segelintir rakyat Sarawak yang mahu melihat kesemua ADUN di dalam GPS ini tumbang?
Dalam hal ini, sepatutnya warga Sarawak kena sedar, Datuk Amar Abang Johari sebenarnya telah membawa istilah sebenar Sarawak for Sarawakian kembali ketanah asalnya. Manakan tidak, PBB, PDP, PRS dan SUPP ditubuhkan dan dikembangkan di Sarawak dengan tidak ada walau seorang pun pemimpinnya lahir di luar Sarawak.
Sebaliknya, DAP, PKR, PAN, PAS mahupun cadangan membawa masuk PPBM ke Sarawak, bukanlah parti yang dilahirkan dan dikembangkan di Sarawak sendiri. Bukankah selama ini di dalam slogan politik pembangkang di Sarawak, mereka menolak kemasukan apa sahaja campurtangan politik dari Semenanjung sehingga menyaksikan UMNO tidak boleh didaftarkan di Sarawak?
Hari ini, Gabungan Parti Sarawak telah bertapak dan lebih memberikan fokus khas kepada rakyat negeri Sarawak kerana mereka adalah parti yang dilahirkan di Sarawak, bukan dijadikan anak angkat di negeri Kenyalang ini. Sepatutnya, rakyat Sarawak perlu berbangga bahawa GPS lebih Sarawak berbanding gabungan PKR, DAP, PAN, PAS mahupun PPBM.
Perlu diingatkan sekali lagi bahawa Datuk Amar Abang Johari sebenarnya telah berjaya membawa slogan Sarawak for Sarawakian lebih daripada sekadar slogan pemisah mahupun slogan politik yang dimainkan DAP, PKR dan PAN di Sarawak. Bak kata orang Sarawak, tok baru menar parti orang Sarawak. Sidak lain ya parti pembulak dari Semenanjung!
0 comments:
Post a Comment