Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) memutuskan tidak akan mengenakan sebarang tindakan ke atas penyokong yang membaling telur kepada skuad Piala Dunia sebaik mereka tiba dari Russia, semalam.
Korea Selatan tewas dalam dua perlawanan pertama peringkat kumpulan - di tangan Sweden dan Mexico - sebelum melakar kejutan menewaskan Jerman 2-0 pada perlawanan terakhir.
Biarpun kemenangan ke atas juara bertahan itu mampu mengubati kekecewaan selepas tersingkir buat kali kedua berturut-turut di pusingan awal Piala Dunia, beberapa penyokong yang masih berang bertindak membaling telur kepada pemain ketika sesi bergambar di Lapangan Terbang Incheon.
Media Yonhap News melaporkan hari ini polis Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon sebagai berkata, KFA memutuskan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan ke atas penyokong yang membaling telur itu.
“Kami sudah mendapatkan pandangan KFA sama ada mahu mengenakan tindakan kepada pesalah sebelum kami melakukan siasatan,” kata pegawai polis lapangan terbang itu.
“Membaling telur boleh dianggap sebagai satu serangan, tetapi ia juga satu kesalahan yang tidak boleh didakwa tanpa aduan daripada mangsa.”
Empat tahun lalu, pasukan yang digelar Taegeuk Warriors itu turut dikecam hebat penyokong apabila pulang ke tanah air dari Brazil selepas mengharungi kempen yang penuh mengecewakan.
0 comments:
Post a Comment