Mayat seorang wanita dan anaknya yang kecil ditemui terapung di laut Mediterranean bersama seorang mangsa yang berjaya diselamatkan selepas mereka ditinggalkan pengawal pantai Libya kerana enggan dihantar pulang ke negara itu.
Gambar menyayat hati mayat dua beranak itu terbaring atas sisa meja dari kapal yang membawa mereka disebarkan di Twitter oleh organisasi bukan kerajaan Proactiva Open Arms.
Pengasas Proactiva, Oscar Camps berkata: “Ketika ditemui, seorang wanita masih hidup. Kami tidak dapat melakukan apa-apa untuk membantu wanita kedua dan anaknya yang dipercayai mati beberapa jam sebelum ditemui.”
Wartawan Annalisa Camilli yang menyertai operasi menulis di blognya bahawa mangsa terselamat bernama Josephine dari Cameroon. “Ketika ditemui dia tertiarap di atas sisa meja. Penyelamatnya, Javier Filgueira tidak henti berdoa dia masih hidup ketika berenang mendapatkannya.
“Bayi terbabit dipercayai mati akibat hipotermia dan ditemui sebelah mayat wanita dipercayai ibunya. Kulitnya melepuh akibat diesel yang bocor,” katanya.
Pengawal pantai Libya menghantar pesanan kepada Badan Koordinasi Penyelamat Maritim mengatakan 158 pendatang diselamatkan dalam pelayaran ke Eropah, Isnin lalu. Bagaimanapun ia tidak menyebut dua wanita dan seorang budak usia tatih sengaja ditinggalkan.
Kumpulan pembantu pendatang Proactiva Open Arms mendakwa kapal berkenaan kemudian sengaja dikaramkan selepas dua wanita terbabit enggan menaiki bot patrol untuk dihantar pulang ke negara Afrika Utara itu.
0 comments:
Post a Comment