SEKUMPULAN nelayan di Sungai Likas, berhampiran Jambatan Yayasan Sabah, di sini, hari ini, terkejut kerana objek terapung yang ditemui mereka adalah mayat seorang lelaki.
Mayat lelaki dewasa yang belum dikenal pasti identitinya ditemui kira-kira jam 4 petang di sungai berkenaan sebelum mereka melaporkan penemuan itu kepada pihak polis.
Nelayan, Manan Sakilan, 58, berkata, sebelum kejadian, dia bersama tiga rakan dengan menaiki dua bot dalam perjalanan ke laut berhampiran untuk memukat ikan. "Ketika tiba berhampiran Jambatan Yayasan Sabah, seorang rakan memberitahu nampak satu objek seakan manusia.
"Kami kemudian menghampirinya sebelum mendapati objek itu adalah mayat manusia sebelum menariknya menggunakan tali ke tepi sungai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Manan, mayat itu lengkap berpakaian dan di tangannya menggenggam seutas kunci, namun tidak pasti apa yang berlaku. "Kami kemudian membatalkan hasrat untuk ke laut sebelum menghubungi polis," katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk siasatan lanjut.
0 comments:
Post a Comment