HASRAT Malaysia untuk menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) selepas kontrak penganjurannya tamat pada 2018 susulan penurunan jualan tiket serta kemerosotan penonton televisyen mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi laman sosial Twitter rasminya kelmarin menjelaskan, penganjuran perlumbaan F1 memerlukan kos yang sangat tinggi, namun gagal untuk mendapat pulangan menguntungkan.
Ujar beliau, perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak lagi mampu menjadi peneraju di Asia selepas kemunculan beberapa litar baharu, sekali gus melenyapkan keistimewaan SIC sebagai penganjur perlumbaan F1.
Bagaimanapun, beberapa individu yang terlibat dalam sukan permotoran negara masing-masing mempunyai pandangan tersendiri mengenai hasrat Malaysia untuk tidak lagi menganjurkan perlumbaan paling berprestij itu.
Pelumba profesional negara, Afiq Ikhwan Yazid berkata, perlumbaan F1 wajar diteruskan sekiranya peruntukan mencukupi kerana ia mampu memberi kesan positif kepada industri pelancongan sukan negara, sekali gus mempromosi Malaysia di mata dunia.
“Sekiranya kita tidak menanggung kerugian besar dan masih ada dana mencukupi, tidak salah untuk kita teruskan perlumbaan F1 kerana banyak perkara positif yang boleh kita dapati. Dari segi pelancongan, penganjuran F1 sememangnya beri kesan positif kerana pelancong sentiasa memenuhi perlumbaan tersebut. Selain itu, ia juga mampu memberi pengalaman kepada sesiapa yang tidak pernah menyaksikannya secara langsung,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, Afiq yang beraksi pada perlumbaan Lamborghini Super Trofeo Asia turut menegaskan, punca utama kemerosotan kehadiran penonton adalah disebabkan saingan yang kurang menarik selain perubahan pada enjin jentera F1.
“Faktor utama orang sudah tidak berminat dengan F1 adalah kerana bunyi enjin yang tidak ‘gah’ seperti dahulu. Selain itu, dominasi pasukan Mercedes juga menyebabkan orang ramai mula bosan dengan perlumbaan tersebut,” ujarnya.
Turut senada dengan Afiq, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kehadiran perlumbaan berprestij tersebut bukan sahaja mampu menyumbang kepada kadar ketibaan pelancongan tahunan, malah memberi penjenamaan positif buat negara.
Tambah Mas Ermieyati, kajian serta semakan terperinci perlu dijalankan dengan mengambil kira pelbagai faktor sebelum acara tahunan yang sudah sebati dalam kalendar negara itu ditarik balik.
“Saya tidak boleh nak menyatakan secara jelas sama ada kami menerima atau tidak usul ini. Kami perlu melihat implikasi jangka pendek dan jangka panjang. Sekiranya ditarik balik sekalipun dan digantikan dengan sesuatu yang lain, adakah apa yang digantikan itu akan memberikan pulangan yang setimpal atau lebih? Ini perlu dinilai dengan secara mendalam,” katanya.
Dalam pada itu, syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang menjadi penaja perlumbaan paling berprestij itu sejak tahun 1999 menyerahkan segala keputusan penganjuran F1 terhadap pihak SIC dan Pengurusan Formula Satu (FOM) sebelum membuat tindakan selanjutnya.
“Ketika ini kami hanya menunggu keputusan. Ini kerana kontrak penajaan Petronas adalah bersama FOM. Jadi terpulang SIC dan FOM untuk memutuskan.
“Sebaik sahaja ada keputusan, saya pasti kami akan dimaklumkan dan kami akan menyemak semula untuk tindakan seterusnya. Bagi kami, buat masa ini adalah mendengar apa saja keputusan sebelum mengambil langkah selanjutnya,” kata Pengurus Besar Pengurusan Jenama, Kumpulan Komunikasi Strategik Petronas, Rizan Ismail di Petaling Jaya semalam.
0 comments:
Post a Comment