Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 190 negara di dunia sebagai negara paling berdaya saing dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2017. Malaysia juga menjadi antara 17 negara yang melaksanakan pembaharuan ekonomi di Asia Timur dan rantau Pasifik dalam beberapa tahun ini.
Pengurus Negara Hab Kajian dan Pengetahuan Global Kumpulan Bank Dunia, Faris H Hadad-Zervos berkata, itu menjadikan Malaysia sebagai negara Asean yang menduduki kedudukan kedua tertinggi dalam laporan dan menjadi penanda aras tertinggi global bagi mengukur tahap kecekapan negara menjalankan aktiviti perniagaan.
Katanya, kerajaan Malaysia juga dilihat terus berusaha dalam menambah baik persekitaran peraturan perniagaan di negara ini. “Menerusi laporan ini juga, ia mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu ekonomi dunia yang memperkenalkan biro atau pendaftar skor kredit sebagai satu perkhidmatan nilai tambah.
“Ia juga lebih menggalakkan bagi melihat ekonomi terus melaksanakan pembaharuan yang memudahkan proses menjalankan perniagaan bagi usahawan,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2017 di sini, semalam.
Tahun lalu, Malaysia berada di tempat ke-22 dan tahun ini berada pada kedudukan ke-23 Malaysia mendahului beberapa negara lain seperti Switzerland (31), Perancis (29), Belanda (28), Emiriah Arab Bersatu (26), Jepun (34), Thailand (46), China (78) dan India (130).
Malaysia juga berada di kedudukan kedua dalam kalangan ekonomi Asean selepas Singapura dan ke-7 di Asia Pasifik selepas New Zealand, Singapura, Hong Kong, Korea, Taiwan dan Australia.
Faris berkata, dalam laporan yang dipertingkatkan dari segi kaedah penilaian itu, Malaysia meraih skor 78.11, berbanding 78.18 yang diraihnya tahun lalu dan dinilai sebagai negara yang mencatatkan prestasi terbaik dalam ‘Indeks Bekalan Berdaya Maju serta Tarif Telus’ di bawah petunjuk ‘Mendapatkan Elektrik’.
Beliau berkata, Malaysia juga menjadi antara 15 negara terbaik di dunia dalam pengurusan permit pembinaan yang hanya mengambil masa 79 hari untuk melengkapkan semua keperluan. Selain itu, tahun ini Malaysia masih kekal sebagai ekonomi ketiga terbaik dunia dalam melindungi pelabur minoriti.
0 comments:
Post a Comment