Mengasari orang yang lemah bertujuan untuk menunjukkan kekuatan adalah buli. Tingkah laku sebegini bukan perkara asing dalam masyarakat kita hari ini. Walaupun banyak kes buli yang menggemparkan negara disiarkan media, masih banyak lagi kes buli yang tidak dilaporkan disebabkan mangsa dibelenggu ketakutan dengan situasi yang dilaluinya.
Apa yang membimbangkan, kesan psikologi terhadap mangsa buli apabila ia boleh mendorong kepada perkara yang tidak diingini seperti bunuh diri, terbabit dalam aktiviti kurang sihat dan masalah sosial.
Peranan perlu dimainkan oleh seluruh masyarakat, tidak hanya ibu bapa malah tenaga pengajar juga berikutan ramai kanak-kanak meluangkan masa mereka di sekolah berbanding di rumah.
Pensyarah dan Pakar Psikologi, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), Profesor Datin Dr Noran Fauziah Yaakub berkata, perkara yang menyumbang kepada peningkatan kes buli di sekolah apabila pelajar memikirkan ia adalah perkara yang normal untuk melakukan perbuatan terbabit dan berkemungkinan pihak sekolah tidak mempunyai polisi antibuli untuk mengekang gejala ini.
“Polisi antibuli boleh dijalankan di peringkat sekolah terutama dalam kelas bagi memberi didikan dan kesedaran mengenai keburukan kesan buli. Kajian menunjukkan bahawa beberapa mangsa buli akan terkesan secara psikologi dalam jangka masa panjang.
“Kesan jangka panjang psikologi secara batin seperti kebimbangan, kemurungan dan cepat putus asa, manakala kesan pada zahir yang boleh dilihat dengan tingkah laku yang agresif. Malah, mangsa buli juga akan menjadi pendendam atau bersikap agresif terhadap kanak-kanak lain yang lebih muda.
“Bagi mangsa yang tidak berkelakuan agresif terhadap orang lain, mereka akan berubah menjadi cepat cemas dan tertekan,” katanya.
Dr Noran Fauziah berkata, ibu bapa perlu memerhatikan tingkah laku anak mereka yang mungkin berubah secara drastik menjadi pendiam, takut, tidak gembira, muram atau kurang selera makan. Jika anak dibuli secara fizikal, ia adalah lebih mudah bagi ibu bapa untuk mengenal pasti tanda fizikal pada badan mereka.
Bagaimanapun, mangsa buli secara lisan tidak ada tanda fizikal yang membahayakan tubuh badan. Oleh itu, bahasa badan juga memainkan peranan penting apabila ia menunjukkan tanda keresahan.
“Ia akan menjadi lebih baik jika ibu bapa boleh bercakap atau berbincang setiap hari dengan anak mereka seperti mengambil tahu apa aktiviti yang dilakukan di sekolah. Apabila ibu bapa mendapati anak mereka dibuli, mereka boleh berhubung dengan sekolah untuk berbincang bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini.
“Di Jepun, perbuatan membuli pelajar di sekolah dipanggil ‘ijime’ dan klimaks yang dilakukan oleh mangsa buli apabila mereka tidak dapat menahan penyeksaan dibuli adalah membunuh diri. Kes bunuh diri akibat buli juga dilaporkan di Korea Selatan, Kanada, Norway, England, Hong Kong dan Amerika Syarikat.
“Kanak-kanak ini membunuh diri kerana mereka tidak dapat bertolak ansur apabila diejek, diejek dengan nama gelaran tertentu atau diperas ugut dengan jumlah wang yang besar,” katanya.
Beliau berkata, dalam kajiannya membabitkan 5,000 kanak-kanak di seluruh Malaysia mendapati, dua kes mangsa buli berniat untuk membunuh diri dan maklumat demikian dilanjutkan kepada kaunselor sekolah untuk tindakan sewajarnya.
“Pembuli secara bersemuka atau dalam talian melalui media sosial adalah sama jika dilihat motif atau niat bertindak untuk membahayakan atau mencetuskan ketakutan pada mangsa. Di samping itu, wujud ketidakseimbangan kuasa di antara pembuli dan mangsa buli.
“Perbezaannya ialah medium yang digunakan dan identiti pembuli boleh disembunyi. Dalam kebanyakan kes, pembuli tidak sedar bahawa tindakan mereka menyebabkan kesan negatif terhadap orang yang dibulinya.
“Satu kaedah yang ibu bapa atau guru boleh lakukan untuk membantu mangsa mengatasi perasaan trauma terhadap perkara yang dialaminya ialah dengan penulisan atau ilustrasi. Kaedah ini ada dalam sukatan pembelajaran yang disampaikan kepada penuntut bidang Psikologi yang ditawarkan oleh CUCMS.
Katanya, kaedah penulisan dan gambaran ilustrasi yang dihasilkan dapat memberi bayangan perasaan mangsa, sama ada mangsa berada dalam keadaan yang stabil atau kurang stabil apabila gangguan psikologi mangsa mula mengawal fikiran.
Bagi mengelak perkara yang tidak diingini daripada berlaku, ia dapat dikenal pasti dengan lebih awal apabila ibu bapa dan guru menjalankan aktiviti ini malah ia dapat membantu untuk tindakan selajutnya bagi membantu mangsa buli.
0 comments:
Post a Comment