Seorang pemilik kedai runcit yang disyaki tertekan dengan kes mahkamah kerana didakwa menjual rokok seludup hilang di laut selepas dipercayai terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dari Batu Kawan menghala ke Batu Maung di sini semalam.
Sebelum terjun dari jambatan tersebut pada pukul 8.30 pagi, mangsa Mohd. Shukri Saad, 39, dikatakan memuat naik status memohon maaf daripada keluarga, meluahkan perasaan takut dipenjara dan kecewa dengan masalah berkaitan rokok seludup menerusi akaun Facebook miliknya.
Di lokasi mangsa terjun, polis menemui motosikal jenis Modenas Kriss, sepasang selipar serta sekeping kertas putih bertulis nama, umur, alamat dan nombor kad pengenalan dirinya. Turut ditemui telefon bimbit mangsa.
Ekoran kejadian itu, pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat Mohd. Shukri yang berasal dari Kampung Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara. Sehingga pukul 8 malam tadi, nasib Mohd. Shukri yang hilang di perairan Selat Melaka belum diketahui.
Sementara itu, satu sumber memberitahu, mangsa dikatakan telah memuat naik satu status menerusi akaun Facebook miliknya dipercayai beberapa jam sebelum mangsa terjun ke laut. “Menerusi status Facebook itu, Mohd. Shukri seolah-olah meluahkan perasaan tertekan dengan nasib yang menimpa dirinya,” kata sumber itu ketika dihubungi media semalam.
0 comments:
Post a Comment