Pengendali Manchester United, Jose Mourinho (gambar) mengakui bahawa kejayaan mara ke suku akhir Piala Liga England selepas menewaskan musuh setempat Manchester City adalah didedikasikan kepada para peminat tegar mereka.
Pada aksi awal pagi semalam itu, Juan Mata muncul wira United apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan dan menyaksikan mereka bakal bertemu West Ham United pada aksi berikutnya.

“Para pemain telah melakukan apa sahaja dan mereka layak untuk memenanginya. Kami sangat gembira.
“Minggu lalu menyaksikan segalanya tidak berjalan dengan lancar tetapi kami adalah sebuah pasukan yang profesional. Para peminat sudah pasti tidak selesa dengan keputusan negatif itu tetapi hari ini (awal pagi semalam) kami mengambil kesempatan untuk membuang segala rasa yang tidak selesa itu untuk berasa lebih baik,” katanya.
Pada aksi tersebut, skuad bimbingan Pep Guardiola gagal memberikan saingan yang lebih baik dan lebih teruk lagi adalah ia perlawanan keenam pengendali dari Sepanyol itu tanpa kemenangan selepas mengambil alih tugas di Etihad.

“Ya. Kami memburu keputusan yang baik kerana kekalahan (kepada Chelsea) itu agak besar dan ia merupakan sejarah yang pada saya tidak layak untuk kelab ini. Apabila saya menerima tugas di sini, seluruh jiwa saya adalah untuk para peminat dan saya rasa kesal dengan kekalahan sebelum ini.
“Realitinya adalah kami mempunyai peminat yang hebat. Kami tewas 0-4 tetapi mereka masih teguh memberikan sokongan. Hari ini saya lihat stadium dipenuhi penyokong dan ini membuktikan bahawa rasa cinta mereka kepada kelab lebih besar berbanding kecewa ekoran keputusan yang buruk,” katanya.
0 comments:
Post a Comment