Setiap tahun ketika pembentangan bajet negara, industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memperoleh manfaatnya. Tidak terkecuali pada Bajet 2017, langkah kerajaan menggiatkan program eUsahawan dan eRezeki di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merangkumi 300,000 peserta dengan peruntukan RM100 juta.
Selain itu, terdapat 21 kategori pelepasan cukai individu termasuk pembelian bahan bacaan, komputer, telefon pintar, tablet dan langganan Internet dengan pelepasan sehingga RM2,500 setiap tahun.
Bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah 40 peratus paling bawah (B40) khususnya penerima BR1M menjana pendapatan tambahan, kerajaan juga menggalakkan penyertaan mereka sebagai pemandu perkongsian kenderaan seperti peserta aplikasi Uber.
Malah, bayaran pendahuluan boleh dibuat menggunakan BR1M dan rebat RM4,000 bagi pembelian kereta Proton Iriz. MDEC juga memperoleh peruntukan RM162 juta bagi pelbagai program seperti ekosistem e-dagang, Digital Maker Movement serta pengenalan kategori lokasi baru sebagai Hab Digital Malaysia.
Bajet 2017 juga menyaksikan kerajaan menubuhkan ‘Digital Free Zone’ yang pertama di dunia menggabungkan zon fizikal dan maya dengan penambahan perkhidmatan ‘online’ bagi memudahkan e-dagang antarabangsa dan merangsang inovasi berteraskan Internet.
Selain itu, bermula Januari 2017 penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap bersetuju menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan yang lebih tinggi pada harga yang sama. Seterusnya, kelajuan akan ditingkatkan dua kali ganda dengan penurunan harga sehingga 50 peratus dalam tempoh dua tahun lagi.
Selain itu, kerajaan akan melancarkan inisiatif supaya perkhidmatan jalur lebar ethernet di universiti awam ditingkatkan kepada maksimum 100Gbps. Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyediakan RM1 bilion bagi menyediakan liputan dan kualiti jalur lebar di seluruh negara mencapai 20Mbps.
Satu kategori pas baru, Usahawan Teknologi Asing Berpengetahuan Tinggi akan diperkenalkan untuk menggalakkan pelaburan ‘startup’ berteknologi tinggi. Manakala 430,000 pendidik akan menerima tablet bantuan mengajar menerusi SKMM berjumlah RM340 juta.
Syarikat penyedia aplikasi khidmat perkongsian kenderaan, Uber menyambut baik hasrat kerajaan menggalakkan golongan B40 menyertai program pemandu Uber di negara ini.
Pengurus Besar Uber Malaysia Leon Foong berkata, syarikatnya dan Proton mempunyai visi sama dengan inovasi teknologi dan mencipta peluang ekonomi “Uber akan mengumumkan program baru dengan kerjasama pengeluar kereta nasional, Proton,” katanya ketika mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri dalam memperkasakan golongan B40 tahun depan.
Menurutnya, ia membantu meningkatkan pendapatan rakyat melalui penggunaan teknologi. “Malah, langkah terbabit membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar besar,” katanya.
Sementara itu, penyedia khidmat perkongsian kenderaan tempatan, Grab menganggap langkah terbabit berupaya membantu lebih 12,000 pemandu teksi yang sudah tamat kontrak perkhidmatan dengan syarikat teksi untuk mendapatkan kenderaan baru.
Ketua Grab Malaysia, Jaygan Fu berkata, ia membantu mereka memperoleh pendapatan lebih baik dan bekerja secara bebas. Kumpulan berkaitan mudah alih dan Internet, Mobilefest pula menggesa kerajaan memanfaatkan sepenuhnya teknologi sebagai platform membantu usahawan mudah alih dan pertanian pada tahun depan sempena Bajet 2017.
Pengasas Bersama, Samuel Tan berkata, pengumuman Bajet 2017 terbabit meliputi sektor teknologi yang perlu dimanfaatkan bersama. “Selain itu, langkah memperkasakan panel solar perlu dipandang serius kerana masyarakat perlu lebih melihat zaman hijau dan mesra alam sebagai gaya hidup,” katanya.
“Peluasan pinjaman kemudahan komputer yang diluaskan skopnya langkah yang baik dan ia perlu selari dengan galakan produktiviti terutama berkaitan perkhidmatan,” katanya.
Mobilefest juga mahu kerajaan memberi maklumat lebih baik mengenai program eUsahawan yang boleh memberi manfaat kepada 300,000 peserta seperti diumumkan dalam Bajet 2017. Langkah memperkasakan liputan dan kualiti jalur lebar di seluruh negara dan bukannya tertumpu di bandar satu usaha yang baik sempena Bajet 2017.
Agensi penyelidik teknologi, Gartner memaklumkan ia memerlukan usaha berterusan untuk memperbaiki kualiti liputan di luar bandar. Naib Presiden Penyelidikan Gartner, Tervinderjit Singh, berkata Bajet 2017 selari dengan ramalan agensinya berkaitan transformasi teknologi menjelang 2025.
"Kita akan menyokong usaha terutama berkaitan ‘Digital Free Zone’ yang pertama di dunia. MDEC yang memperoleh peruntukan besar akan meneruskan langkah memajukan sektor teknologi di negara bagi membantu rakyat menikmati kemudahan lebih baik selepas pengumuman Bajet 2017.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Yasmin Mahmood berkata, ekonomi digital amat penting pada masa depan. “Memperkasakan inisiatif eRezeki dan eUsahawan kepada golongan muda, PKS, usahawan digital dan golongan B40 dengan bajet sebanyak RM100 juta mampu memberi impak kepada 100,000 rakyat di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Komputer Malaysia (Pikom) Chin Chee Seong menyambut baik langkah menambah kelajuan jalur lebar pada harga yang sama sambil mengurangkan harganya pada masa depan yang sepatutnya dibuat lebih awal.
“Cuma kerajaan sepatutnya tidak mengenakan cukai GST kepada produk dan perkhidmatan ICT yang boleh memberi manfaat kepada penduduk di negara ini,”katanya.
0 comments:
Post a Comment