My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday, 30 October 2016

    Semarak Muhibah Deepavali


    GELAK tawa ketiga-tiga wanita itu pecah berderai tika mereka sedang asyik berbual-bual mesra sambil menjamah juadah kuih-muih dan manisan yang sedia terhidang. Bertemu setahun sekali sempena sambutan Deepavali, Shantini Theva, 32, tidak melepaskan peluang tersebut untuk saling bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita bersama teman-temannya. 

    Baginya, itulah masa yang tepat untuk dia kembali merapatkan hubungan tali persaudaraan sesama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan. Tatkala meraikan sambutan yang disulami dengan rasa kesyukuran, pesta penuh warna-warni itu bagai memberikan cahaya kegembiraan kepada bukan sahaja penganut agama Hindu, malah kaum-kaum lain yang turut merasakan keseronokannya.

    “Tidak lengkap sambutan Deepavali tanpa tradisi kunjung-mengunjungi saudara-mara serta sahabat handai. Ia juga pasti jadi lebih bermakna apabila masyarakat daripada pelbagai kaum datang dan turut sama meraikan perayaan ini,” katanya yang menyambut Pesta Cahaya itu bersama keluarga di Banting, Selangor.

    Fasih berbahasa Melayu, Shantini memberitahu, seperti kebanyakan keluarga Hindu lain, dia akan melumurkan seluruh badan dengan minyak bijan dan serbuk shikakai atau sejenis tumbuhan herba sebelum menukar kepada pakaian baharu.

    “Meskipun menjalani kehidupan serba moden, saya amat mementingkan tradisi dan masih meneruskan amalan mandi minyak bijan yang dipraktikkan sejak zaman-berzaman pada pagi Deepavali.

    “Ia sebagai lambang penyucian badan dan semangat yang dipercayai mampu memberi ketenangan dan kesihatan yang baik selain membawa tuah serta kemakmuran. Selepas itu, barulah kami sekeluarga akan pergi bersembahyang di kuil sebelum makan bersama keluarga dan menziarahi saudara-mara,” katanya yang turut memastikan pelita minyak tanah dan lampu kelip-kelip menjadi hiasan rumah.

    Selain itu, anak sulung daripada lima orang adik-beradik itu berkata, dia juga membuat hiasan ‘kolam’ menggunakan beras dalam pelbagai bentuk dan warna menarik. “Ia merupakan lambang penyembahan Dewa Lakshimi iaitu Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi kediaman sesiapa yang mempunyai hiasan ‘kolam’ di pintu masuk rumah mereka,” ujarnya.

    Manisan tradisi

    Shantini yang dilantik sebagai duta pelancongan Malaysia ke selatan India oleh Kementerian Pelancongan sejak 1 Julai lalu berkata, pakaian tradisional sari dan lengha daripada rona-rona terang menjadi pilihannya untuk ke kuil pada pagi Deepavali.

    “Di rumah, saya lebih selesa mengenakan pakaian punjabi yang lebih kasual dan selesa untuk menyambut serta melayan para tetamu sehingga petang hari,” katanya sambil memberitahu juadah seperti tose, idli, kari ayam dan kuah dal melengkapi sambutan Deepavali.

    Mengenali Shantini kira-kira dua tahun dahulu ketika sama-sama terlibat dalam bidang modeling, Aishah Bibi Mohd. Ibrahim, 36, memberitahu, perayaan Deepavali antara sambutan paling ditunggu-tunggu kerana pada hari itulah dia berpeluang merasai keenakan manisan tradisional India seperti nei urundai (ladu minyak sapi), kallu urundai (ladu kacang hijau) dan pelbagai juadah lain.

    Bahkan dia juga tidak kekok mengenakan sari dan sut punjabi jika pergi beraya ke rumah rakan-rakannya yang beragama Hindu. “Sejak zaman remaja lagi saya sudah didedahkan dengan budaya mengunjungi rumah rakan-rakan berlainan agama untuk sama-sama meraikan perayaan mereka. 

    “Saya berpendapat, sambutan pelbagai perayaan seperti Deepavali dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya. Wanita Melayu berketurunan Malabar itu menjelaskan, biarpun asal usul keluarganya dari Kerala, India, mereka tidak menyambut Deepavali sebaliknya meraikan Aidilfitri sebagai perayaan utama.

    “Datuk dan nenek kedua-dua belah ibu bapa berasal dari Kerala. Mereka berketurunan Malabar, beragama Islam dan datang ke Tanah Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Kami mengamalkan budaya Melayu, namun hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia pada hari ini mengajar kita untuk meraikan kepelbagaian perayaan dalam perbezaan kaum,” katanya.

    Kuasa cahaya

    Bagi Linda Ho May Ling, dia berpendapat perayaan Deepavali tidak banyak berbeza dengan festival Kathina yang disambut oleh penganut agama Buddha pada bulan Oktober atau November. Menurutnya, kedua-dua sambutan itu ada bersangkut paut dengan penghayatan terhadap kuasa cahaya dalam menerangi kegelapan dan membawa kepada kesedaran atau kebaikan.

    Berketurunan Cina Peranakan, wanita 40-an dari Alor Setar, Kedah itu menyifatkan perayaan seperti Deepavali dapat mengu­kuhkan lagi perasaan muhibah dan harmoni dalam kalangan rakyat di negara ini.

    “Perayaan seperti ini memberi peluang kepada kami beramah mesra dengan rakan-rakan yang beragama Hindu sekali gus menguatkan ikatan persahabatan dan menjalin kasih sayang sesama manusia,” katanya yang juga fasih berbahasa Melayu.

    Linda juga teruja menyambut Deepavali kerana begitu menggemari juadah seperti nasi daun pisang, nasi beriani, kari kambing dan tose. “Saya mungkin berbangsa Cina tetapi selera saya 1Malaysia sebab saya juga suka masakan India dan Melayu seperti nasi kerabu, ulam-ulaman, sambal belacan, tempoyak serta budu,” selorohnya.

    Bekas pramugari di sebuah syarikat penerbangan antarabangsa itu juga memberitahu, dia tidak berasa janggal untuk menggayakan sari dan berkebaya. “Sebagai masyarakat Baba dan Nyonya, saya biasanya menyambut Tahun Baru Cina dengan berkain batik dan berkebaya nyonya. Saya juga ada beberapa koleksi sari dan memakainya pada hari Deepavali,” ujarnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Semarak Muhibah Deepavali Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top