“PENGALAMAN paling mencabar semasa berada di kawasan Route 40 ialah apabila saya perlu menempuh laluan pertembungan angin yang sangat dahsyat dari Lautan Atlantik dan Pasifik menuju ke Ushuaia, Argentina.
“Malah, semasa di Maxico, saya juga berdepan dengan gengster yang memegang senapang di merata-rata tempat. Ia adalah detik paling cemas dan mendebarkan.” Itulah kata-kata keluar dari mulut Anita Yusof saat ditanya apakah momen paling mencabar sepanjang 370 hari menunggang motosikal mengelilingi dunia.
Wanita berusia 49 tahun itu merupakan seorang pensyarah subjek Anatomi dan Fisiologi di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh, Perak. Anita juga menjadi wanita Islam Malaysia pertama yang mengelilingi dunia bermotosikal secara solo. Kejayaannya itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records dan liputan daripada media semasa serata dunia baru-baru ini.
Peribadi
Anita yang berasal dari Batu Pahat, Johor memulakan ekspedisi pada 13 September tahun lalu di Putrajaya. Segala-galanya bermula selepas dia berhasrat untuk melakukan satu anjakan dalam diari hidup. “Masalah peribadi memaksa saya melakukan sesuatu sebelum ia menyebabkan saya jatuh lebih teruk.
“Jadi, saya mengambil keputusan untuk melihat dunia Allah yang terbentang luas tetapi dengan cara yang mampu ditanggung sendiri,” katanya yang mengambil cuti tanpa gaji selama setahun untuk mencapai cita-cita dan hasratnya itu.
Meskipun terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri sebanyak RM120,000, dia tidak pernah menyesal kerana pengalaman yang ditimba terlalu banyak serta tidak boleh dihitung. Bercerita lanjut tentang ekspedisi itu, idea untuk menjelajah dunia tercetus pada 2014. Anita yang sebelum ini merupakan seorang pengembara tegar, mula merancang perjalanan dengan melakukan penyelidikan dan pencarian tentang jalan-jalan yang ingin dilalui.
Dia mula menyediakan visa dan menghubungi semua kedutaan Malaysia di negara-negara yang akan dikunjungi. Bahkan, dia juga menghantar surat untuk mendapatkan penajaan tetapi banyak syarikat tidak yakin dengan kebolehannya.
Anita cuma mendapat dua tajaan iaitu Givi yang menaja kelengkapan menunggang dan aksesori motosikal sementara Hong Leong Yamaha Motor menaja motosikal Yamaha FZ150i serta memberikan perkhidmatan servis percuma di destinasi tertentu dalam laluan itu. Ketika ditanya mengapa memilih motosikal, Anita memberitahu, ia lebih menjimatkan kos.
“Hampir setahun juga saya membuat kajian tentang jalan-jalan yang ingin dilalui. Kebanyakan jalan yang dipilih adalah offroad kerana lebih mencabar, selain saya ingin lihat keindahan dunia yang tidak boleh disaksikan di tempat lain.
“Menerusi pemilihan jalan itu juga, saya dapat melihat negara paling cantik yang pernah dikunjungi iaitu Kyrgyzstan,” jelas ibu kepada dua anak lelaki iaitu Rudy Iskandar, 27, dan Emiershah Iskandar, 22.
Makanan
Perjalanan selama setahun itu membolehkan Anita melalui 40 negara dengan merentasi empat benua. Antara negara yang dilaluinya ialah Perancis, Bosnia, Croatia, Monaco, Itali, Montenegro, Albania, Greece, Turki, Iran, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Rusia, Mongolia dan Thailand.
Malah, dia turut merentasi Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Guatemala, El Salvador, Honduras, Nicaragua, Costa Rica, Panama, Columbia, Equador, Peru, Bolivia, Chile, Argentina, Britain dan Sepanyol.
Berkongsi cerita, Anita memaklumkan, selain perlu berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, mendapatkan sumber makanan juga merupakan cabaran yang perlu ditempuhi. Memperoleh makanan halal amat sukar terutamanya semasa di Amerika Latin.
“Saya ada membawa bekalan makanan dari Malaysia tetapi semakin lama semakin susut. Ini kerana, ia tidak dapat diisi kembali sebab susah mahu mencari kedai menjual produk halal. Selalunya, saya akan makan nasi dengan tuna dan sayur-sayuran seperti timun, lobak serta kentang,” katanya yang akan masak sendiri kerana lebih jimat.
Malah, tambahnya, dia pernah tiga bulan tidak makan daging dan ayam kerana tidak jumpa sumber yang halal. “Namun, apabila sampai di Lima, Peru saya dapat menginap di kedutaan Malaysia. Mereka hidangkan daging masak lemak cili api untuk saya. Saya menangis semasa makan kerana lama betul tidak dapat menjamah makanan itu,” jelasnya.
Anita selamat tiba di Malaysia pada 16 September lalu bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia. Dia berjaya menamatkan pengembaraan menggunakan motosikal secara solo dengan perjalanan sejauh 65,369 kilometer (km).
Mengikut perancangan awal, perjalanan Anita hanya meliputi 56,000km tetapi terdapat beberapa perubahan disebabkan rakyat tempatan di negara yang dikunjunginya memberi cadangan mengikuti jalan lebih selamat atau pemandangan cantik.
Musafir
Anita turut berkongsi pengalaman berharga tentang rasa dan perasaan yang dirasai semasa bermusafir serta merantau ke negara orang. “Saya rasa terlalu dekat dengan Allah. Rasa seperti Allah berada betul-betul di hadapan semasa saya sedang bersolat.
“Saya berdoa, meminta apa yang saya hajati, saya minta betul-betul dan bersungguh-sungguh. Tuhan makbulkan, sepanjang misi saya, Dia memang melindungi perjalanan saya,” ujarnya sambil menarik nafas dalam-dalam. Tambahnya lagi, sepanjang bermusafir, dia sentiasa berzikir dan memanjatkan doa supaya dilindungi.
Selama 370 hari itu, dia hanya jatuh lima kali manakala tayar motosikal tidak pernah pancit. Dia juga tidak pernah dirompak atau diserang haiwan liar. Sepanjang perjalanan itu, Anita turut membawakan misi ingin memperbetulkan persepsi sesetengah masyarakat yang menganggap Islam sebagai agama yang ganas dan penuh dengan kekejaman.
“Ada sesetengah masyarakat yang salah tafsir terhadap agama Islam, mereka sangka Islam merupakan agama yang ganas yang suka mengongkong wanita dan tidak membenarkan anak ke sekolah tinggi.
“Jadi, saya cuba cerita kepada mereka apa sebenarnya Islam. Islam tidak seperti apa yang mereka dengar di radio, tidak seperti apa yang mereka lihat di kaca televisyen dan internet,” jelasnya sambil memberitahu, penerangan tentang Islam seperti jihad kecil untuknya.
Dia bersyukur apabila ada antara warga tempatan itu mula menerima dan faham tentang agama Islam. Ketika ditanya tentang perancangan akan datang, Anita memberitahu, dia perlu bekerja seperti biasa untuk menyimpan semula wang yang habis digunakan.
“Saya masih seorang pensyarah dan jika ada kesempatan, saya ingin menulis buku malah menjelajah ke sekolah dan universiti untuk memberi ceramah motivasi,” ujarnya mengakhiri perbualan.
0 comments:
Post a Comment