My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 31 October 2016

    Kedah Juara Di Laman Lawan




    DENDAM Kedah akhirnya terbalas selepas berjaya menjulang Piala Malaysia 2016 apabila menewaskan Selangor 6-5 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 sepanjang 120 minit dalam aksi mendebarkan final edisi ke-90 di Stadium Shah Alam, malam tadi. 

    Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Kedah muncul sebagai pasukan Liga Malaysia keempat paling berjaya dengan menjulang lima kali trofi tertua di Asia Tenggara itu apabila Selangor muncul juara sebanyak 33 kali, Singapura (24) dan Perak menang tujuh kali sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1921.

    Beraksi di depan 75,000 penonton, skuad Gergasi Merah mempamerkan rentak agresif dengan menguji benteng pertahanan Helang Merah menerusi kapten, Andik Vermansyah tetapi percubaan tepat itu berjaya didakap kemas penjaga gol Kedah, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-13.

    Berselang lima minit kemudian, Kedah hampir berjaya membuka tirai jaringan hasil percubaan Mohd. Rizal Mohd. Ghazali tetapi tendangan pemain pertahanan kanan itu tersasar dari gawang Selangor.

    Pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe dilihat menguasai sebahagian besar permainan dengan mempamerkan corak hantaran pendek, diberikan sepakan penalti apabila Shane Smeltz dikasari penjaga gol, Khairul Azhan Khalid pada minit ke-28.

    Bagaimanapun, pengadil final Piala Malaysia 2016, Mohd. Amirul Izwan Yacob membatalkan keputusan memberikan sepakan penalti kepada Kedah itu selepas penolong pengadil mengesahkan penyerang import Kedah itu telah berada di dalam kedudukan ofsaid sebelum dia dikasari dengan Khairul Azhan.

    Kedua-dua pasukan masing-masing mengasak benteng pertahanan tetapi keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama. Bersambung babak kedua perlawanan, saat-saat yang dinantikan penyokong-penyokong Kedah akhirnya tiba apabila Rizal memastikan skuad Helang Merah berada di depan mengatasi Selangor.

    Pemain pertahanan Harimau Malaysia itu akhirnya memecah gawang Selangor hasil tendangan jarak jauh pada minit ke-52 yang terkena bahagian belakang badan pemain Selangor, S. Veenod menyebabkan bola tersebut melam–bung tinggi dan mengelirukan Khairul Azhan yang akhirnya tertewas.

    Bagaimanapun, kelebihan Kedah itu hanya bertahan selama tujuh minit apabila penyerang muda, Ahmad Hazwan Bakri menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan hantaran Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-59.

    Kedua-dua pasukan terdesak memburu gol kemenangan dengan melancarkan beberapa percubaan tepat tetapi keputusan 1-1 sepanjang 90 minit memaksa pertemuan aksi final Piala Malaysia Kedah menentang Selangor bersambung 30 minit untuk masa tambahan.

    Baddrol Bakhtiar hampir berjaya meledak gol kemenangan tetapi Khairul Azhan sekali lagi menjadi wira Selangor dengan menggagalkan percubaan tepat kapten skuad Helang Merah pada minit ke-93 namun kedua-dua pasukan tetap gagal untuk mencari gol kedua sepanjang 120 minit sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

    Rizal nyata berada pada kelas tersendiri apabila dia yang mengambil tendangan terakhir mudah menewaskan Khairul Azhan untuk menghadiahkan piala keramat itu kepada seluruh rakyat Kedah sekali gus melunaskan dendam kekalahan pada aksi final musim lalu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kedah Juara Di Laman Lawan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top