My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 24 October 2016

    Pasang Sampai 10 Selak



    Seorang penagih dadah tidak hanya tinggal di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) secara haram malah turut memasang 10 selak pintu bagi mengelak kediaman itu dipecah masuk pihak berkuasa. Suspek warga tempatan berusia 50-an itu turut dikesan membuat binaan simen tambahan pada pintu masuk kediaman terletak di PPR Kampung Baru Air Panas di sini. 

    Kegiatan itu dibongkar selepas sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti (JPPPK) melakukan operasi mengejut di lokasi itu jam 10 malam kelmarin. Dalam serbuan operasi bersepadu itu, pihak JPPPK mengambil masa hampir satu jam untuk memecah pintu masuk rumah berkenaan bagi membuat pemeriksaan.

    Timbalan Pengarah Kanan JPPPK Mohd Muzammer Jamaluddin berkata, ketika serbuan dibuat, lelaki itu dipercayai sudah melarikan diri namun pihaknya menemui beberapa alat digunakannya untuk menagih dadah.

    “Berdasarkan siasatan, kediaman itu dijadikan ‘sarang’ dia menjalankan aktiviti menagih dadah berkenaan. Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu turut bertindak mencuri bekalan elektrik dengan menceroboh bilik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran,” katanya yang ditemui selepas operasi itu di PPR Kampung Baru Air Panas, di sini, semalam.

    Operasi yang dijalankan pada jam 9.30 malam hingga 1 pagi itu disertai 108 pegawai dan anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), selain JPPPK.

    Mohd Muzammer berkata, pihaknya memutuskan bekalan elektrik ke rumah terbabit serta merta termasuk kotak fius ditanggalkan bagi mengelakkan lelaki itu kembali menjadikan ia sebagai lokasi melepaskan gian.

    “Kediaman itu akan dirampas semula berikutan berlaku pencerobohan. Justeru, rumah ini akan segera dibaikpulih bagi membolehkan ia ditawar kepada orang lain yang memerlukan tempat tinggal,” katanya.

    Selain itu, pihaknya juga turut mengeluarkan 44 notis membabitkan kesalahan penghuni tidak sah, penghuni tidak menetap dan notis kacau ganggu JKAS (pelihara anjing dan kucing) serta kompaun terhadap sembilan kes pelihara haiwan dan tiga kes motosikal atas blok.

    “Pemeriksaan terhadap 205 kediaman di PPR ini mendapati ada di kalangan penduduk yang melakukan kesalahan yang menyebabkan notis dan kompaun dikenakan terhadap mereka,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pasang Sampai 10 Selak Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top