Dalam usaha melonjakkan mutu pendidikan tinggi negara dan pada masa sama menjana pendapatan sendiri, universiti sepatutnya terus cakna untuk menghasilkan inovasi serta penyelidikan. Terbaru, pengurusan universiti disaran turut menubuhkan endowmen (tabung pembiayaan untuk jangka masa tertentu) bagi program yang bakal dilaksanakan.
Dana bagi endowmen berkenaan boleh diperoleh daripada sektor korporat, sumbangan alumni dan individu serta dana wakaf. Ia sekali gus menyahut saranan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh yang meminta universiti awam (UA) mempergiat kutipan dana wakaf untuk kepentingan pelajar dan universiti.
Ini juga sejajar dengan kelestarian dan kesinambungan usaha menyokong kewujudan pelbagai pelan yang diharap mampu meletakkan bidang pendidikan tinggi negara ke tahap lebih dinamik dan bertaraf global.
Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, UA perlu memberi komitmen tinggi untuk menjana pendapatan sendiri secara berterusan bagi membantu pelbagai sektor di kampus.
Katanya, setiap UA perlu melihat usaha itu bukan sahaja boleh menjadikan universiti lebih bertanggungjawab, malah mencorakkan pendapatan sendiri yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan jangka panjang. “Dengan kata lain, setiap UA perlu meneroka sumber kewangan lain bagi memanfaatkan sektor pendidikan untuk jangka panjang.
“Pada masa sama, ia dapat membudayakan pengurusan kewangan secara berhemah dengan dasar penjimatan terus dilaksanakan untuk memacu kecemerlangan institusi,” katanya.
Beliau berkata, di peringkat global, endowmen sudah lama menjadi antara sumber kewangan dan rizab aset, khususnya bagi universiti lama dan ternama seperti Harvard, Oxford serta Yale. Menurutnya, dana endowmen dapat menyokong dan membiayai misi pendidikan universiti secara konsisten.
“Endowmen dapat mengumpul dana melalui sumbangan alumni, wakaf korporat, keuntungan pelaburan strategik universiti dan derma daripada golongan berada. Dana berkenaan boleh digunakan untuk memberi biasiswa dan bantuan kepada pelajar selain membantu menjayakan aktiviti universiti.
“Inisiatif ini sebenarnya bukan menggalakkan budaya meminta-minta tapi sebagai medium pengantara yang diusahakan universiti,” katanya.
Dr Daing Nasir berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut meminta semua UA meneroka prospek endowmen pada tahap optimum bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber kerajaan semata-mata.
Berikutan itu, katanya, kewujudan endowmen perlu dilihat dari sudut lebih luas. “Apabila KPT meminta UA mewujudkan endowmen di institusi masing-masing, ada pihak cuba mengaitkannya dengan isu tidak berkaitan. “Kita perlu berfikiran terbuka. Endowmen bukan hanya wujud di Malaysia, malah dilakukan kebanyakan universiti dunia.
“Ia mewujudkan semangat saling membantu semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Dr Daing Nasir berkata, bagi menyahut saranan berkenaan, UMP memperkenalkan Program MyGift sebagai inisitif saluran sumbangan endowmen kepada universiti itu. Dana itu akan digunakan untuk tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar selain membudayakan semangat membantu golongan memerlukan.
Sepuluh jenis endowmen yang dilaksanakan ialah Endowmen Kursi, Endowmen Biasiswa Pelajar, Endowmen Makmal/Kemudahan dan Endowmen Kecemerlangan. Dana lain ialah Tabung Ramadan, Tabung Masjid, Tabung Bencana, Tabung Wakaf, Tabung Komuniti dan Tabung Prasarana.
Katanya, walaupun menyedari sasaran untuk mengutip endowmen berjumlah RM40 juta sukar dicapai dalam tempoh singkat, ia langkah awal untuk menjadikan usaha itu menjadi kenyataan. “Satu platform perlu dimulakan, apatah lagi UMP dalam fasa perkembangan awal. UMP memulakan Program MyGift sebagai usaha menyahut saranan KPT,” katanya.
Antara inisiatif lain MyGift ialah skim bantuan insentif pendidikan bernilai RM1,000 kepada siswa baru yang menghadapi masalah kewangan bagi memulakan pengajian.
0 comments:
Post a Comment